Kit Siang sahut seruan Agong, bekerjasama landaikan Covid-19


Perhatian khusus harus diberikan kepada Sabah kerana ia adalah pusat gelombang ketiga pandemik Covid-19, seru ahli parlimen veteran DAP itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

SISTEM raja berperlembagaan Malaysia terbukti sebagai benteng utama demokrasi berparlimen apabila keputusan Majlis Raja-Raja menolak cadangan kerajaan untuk mengadakan perintah darurat bagi menangani krisis Covid-19, kata Lim Kit Siang.

“Rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana tidak mengisytiharkan darurat setelah mengadakan perjumpaan khas dengan Raja-raja Melayu hari ini.

“Sistem raja berperlembagaan terbukti sebagai benteng demokrasi berparlimen yang sangat penting di Malaysia,” kata ahli parlimen veteran DAP itu.

Beliau berkata, semua ahli parlimen perlu berganding bahu melumpuhkan peningkatan gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini.

“Perhatian khusus harus diberikan kepada Sabah kerana ia adalah pusat gelombang ketiga pandemik Covid-19.

“Semua ahli parlimen harus bersatu hati memastikan bahawa kita mesti menyelamatkan nyawa dan kehidupan dalam malapetaka bersejarah pandemik Covifd-19 ini.”

Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata demikian sejurus Istana Negara mengeluarkan kenyataan menolak cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan darurat.

Walaupun alasan yang digunakan adalah kerana peningkatan mendadak Covid-19, pengkritik melihat tindakan Muhyiddin itu lebih kepada usaha untuk mengelakkan diri dari usul undi tidak percaya di Parlimen yang akan ditangguhkan sekiranya berlaku darurat. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen