Berhenti segera politiking, titah Agong kepada semua ahli politik


Agong bertitah, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

YANG di-Pertuan Agong hari ini mengingatkan semua ahli politik berhenti daripada berpolitiking kerana perbuatan itu akan menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada. 

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Agong bertitah, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keresahan baginda tentang keperitan rakyat dengan bertambahnya kluster Covid-19 di negara ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu diterbitkan sejurus tamatnya mesyuarat antara Raja-Raja Melayu di Istana Negara petang ini yang membincangkan permohonan Putrajaya untuk mengenakan perintah darurat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Bajet 2021 di Parlimen pada 6 Novermber ini.

Pada Jumaat, selepas mesyuarat kabinet, Muhyiddin telah berjumpa Agong menyampaikan keputusan Kabinet untuk melaksanakan perintah darurat berikutan peningkatan drastik Covid-19.

Dalam masa sama Muhyiddin juga dijangka mendapat undi tidak percaya jika Parlimen bersidang untuk membentang Bajet 2021 minggu hadapan.

Para pengkritik menuduh perdana menteri cuba mengekalkan kuasa dan mengelak undi tidak percaya dengan mengadakan perintah darurat yang mana akan membuatkan Parlimen digantung. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen