SEORANG ejen Korea Utara “yang setia” berpangkalan di Sydney didakwa cuba menjual bahagian dan teknologi peluru berpandu di pasaran gelap bagi mengumpulkan duit untuk Pyongyang seterusnya melanggar sekatan antarabangsa, kata polis Australia pada Ahad.
Lelaki berusia 59 tahun itu yang merupakan warga Australia berketerunan Korea cuba memeterai perjanjian yang boleh menjana “puluhan juta dolar” untuk Korea Utara, kata Polis Australia (AFP).
Lelaki itu terlibat dalam perbincangan untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran peluru berpandu dan pembekalan alat untuk membina peluru berpandu, serta perisian dan perkongsian kepakaran dari Pyongyang, kata polis.
Pembantu Pesuruhjaya AFP, Neil Gaughan memberitahu wartawan yang kes seperti itu “tidak pernah berlaku di Australia”, mendakwa yang lelaki itu berhubung dengan pegawai tertinggi Korea Utara.
“Lelaki ini adalah ejen Korea Utara yang setia, dipercayai dia bertindak kerana matlamat patriotik”
Rancangan ejen itu tidak melibatkan agensi atau pegawai kerajaan lain, kata polis. Pihak berkuasa tidak mendedahkan individu atau entiti yang lelaki itu dekati untuk urus niaga itu.
Korea Utara dikenakan sekatan ketat oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan menekan Pyongyang supaya membatalkan program senjata nuklear dan peluru berpandunya.
“Ini adalah penangkapan yang penting dan dakwaan yang dikenakan sangat berat,” kata Perdana Menteri Malcolm Tumbull kepada wartawan di Sydney.
“Sangat mustahak yang semua negara…melaksanakan sekatan itu.”
Lelaki itu yang sudah tinggal di Australia sejak tiga dekad lalu didakwa menggunakan perkhidmatan komunikasi sulit untuk menguruskan urus niaga itu, termasuklah memindahkan arang batu dari Korea Utara ke Indonesia dan Vietnam.
Dia dalam tahanan dan berdepan enam dakwaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun.
Penyiasat tidak menafikan akan wujudnya dakwaan lain dan sedang menyiasat cubaan perdagangan lain melibatkan minyak dan batu permata.
Ini adalah kali pertama dakwaan dilakukan kerana melanggar Akta Senjata Pemusnah Massa (WMD) Canberra dan kerana melanggar sekatan PBB terhadap Korea Selatan di Australia. – AFP, 17 Disember, 2017.
Komen