Saya rakyat biasa dan saya ok dengan ‘darurat’


SAYA memerhati dari sejarah negara, bahawa Perisytiharan Darurat yang diisytiharkan pada 1969 hanya dibatalkan pada 2011.

Sepanjang tempoh itu tiada pun masalah untuk ekonomi negara terus berkembang dan sistem demokrasi termasuk Parlimen dan pilihan raya terus berperanan dan berfungsi – selain tempoh singkat Majlis Gerakan Negara yang mentadbir sehingga 1971. 

Ini bermakna, daripada tahun saya lahir pada 1974 sehinggalah usia saya sedewasa 37 tahun – status ‘Darurat’ dalam perundangan negara Malaysia ini sama sekali tidak menjejaskan ruang dan peluang untuk saya menjalani kehidupan harian termasuk bersekolah, bekerja, membeli-belah dan melancong, bahkan mengundi seperti biasa dalam beberapa pilihan raya. 

Maaf cakap, walaupun saya mungkin bukan peguam tersohor seperti Tommy Thomas dan pemimpin bertaraf negarawan seperti Tengku Razaleigh Hamzah, saya sama-sekali tidak dapat bersetuju dengan hujah-hujah mereka baru-baru ini bahawa kononnya semata-mata disebabkan suatu pengisytiharan Darurat, ekonomi negara akan mati di mana “international credit rating agencies will immediately down-grade the country’s ratings, borrowing costs will become more expensive, and perhaps even more difficult…. The share market will plunge, the ringgit will plummet and business confidence shattered.” 

Kesemua itu boleh dan akan tetap berlaku selagi mana kerajaan yang memerintah tidak stabil dan mudah diganggu-gugat oleh ahli-ahli parlimen yang rakus berebut kekuasaan. 

Sekurang-kurangnya Darurat (yang mana sebuah kerajaan yang berkuasa luas dan stabil dapat memerintah dengan yakin) diharap meredakan kesemua gugatan sebegitu buat sementara waktu tatkala wabak Covid-19 sedang merebak ganas, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. 

Oleh itu bagi saya tiada masalah sama-sekali jika Darurat dapat memastikan kestabilan negara mengatasi isu titik-bengik demokrasi dan kepentingan remeh mana-mana parti.

Thomas menghujahkan bahawa “222 MPs should take responsibility and come up with a proper solution. … the prime minister and his political opponents have to spend next week horse-trading and bargaining for inclusion in a true unity government,  they must undertake that with a spirit of consensus and compromise.” 

Apakah beliau sebegitu naif dan lurus-bendul untuk memahami bahawa 222 ahli Parlimen ini terang-terang menjadi punca ketidaktentuan keabsahan kerajaan sekarang – dan tidak mungkin mereka berkompromi tatkala peluang terhidang luas untuk masing-masing melonjakkan kepentingan diri!

Senada dengan ini, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menghujahkan kononnya suatu usaha bipartisan yang serupa dengan usaha beliau menjayakan Undi18 patut dilaksanakan. 

Sedarkah beliau bahawa, sewaktu isu Undi18, sama ada ia berjaya atau tidak – tidak akan mengubah kerajaan! Sedangkan jika Belanjawan 2021 gagal diluluskan kelak semata-mata kerana ada dua tiga orang ahli Parlimen ‘buat gila’ mensabotaj Belanjawan tersebut, bukan sahaja kerajaan sedia ada akan tumbang, keseluruhan jentera sektor awam akan tiada peruntukan untuk melalui tahun 2021 (sedangkan lebih banyak belanja segera diperlukan untuk menangani Covid-19  dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi yang sedang terumbang-ambing). 

Amat tidak bertanggungjawab bagi seorang Perdana Menteri dan pemimpin sejati – dalam suasana perang Covid-19 yang getir dan genting ini melibatkan kepentingan beberapa juta rakyat di beberapa zon merah seluruh negara, mengambil risiko bahawa Belanjawan mungkin tidak berjaya diluluskan semata-mata atas ego peribadi: ‘demi membuktikan keabsahan batang tubuh saya menjadi Perdana Menteri’. 

Dengan segala hormatnya saya ingin mengingatkan kepada semua, bahawa jika Muhyiddin Yassin perlu benar-benar meletakkan jawatan – ataupun meminta pembubaran Parlimen supaya pilihan raya umum dapat diadakan – saya yakin Tan Sri sendiri bukanlah orang yang akan ‘menangisi’ kehilangan jawatannya (jangan lupa beliau adalah cancer-survivor malahan pernah kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri di zaman Najib). 

Sebaliknya, ini akan meletakkan rakyat biasa seperti saya dan ramai yang lain serta negara seluruhnya ke kancah malapetaka Covid-19 yang jauh lebih meruncing! 

Manakan tidak, Yang di-Pertuan Agong mungkin sekali lagi terpaksa mengambil masa 2-3 minggu untuk menentukan siapakah dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Sementara itu, seorang Perdana Menteri interim yang masih tiada sokongan politik dan tiada keabsahan memerintah mungkin dilantik – pada masa itu, siapakah yang akan benar-benar menjaga kepentingan rakyat sepanjang 2-3 minggu yang tidak menentu ini, sedangkan Belanjawan pun tidak lulus dan Perdana Menteri interim pula langsung tidak punya keabsahan untuk membuat keputusan-keputusan besar untuk negara?

Saya membaca beberapa ahli akademik termasuk Muzaffar Syah Mellow pensyarah USIM dan Sivamurugan Pandian dari USM menyeru supaya kesemua pihak (parti politik) mencari jalan kompromi dan sebaiknya suatu bentuk kerajaan perpaduan dirundingkan dan ditubuhkan; dengan meletakkan kepentingan rakyat di kedudukan teratas. 

Sekali lagi, maaf cakap, saya musykil apakah mereka yang di menara gading ini langsung tidak memahami dan merasai denyut nadi realiti politik negara Malaysia ini, iaitu: ahli-ahli politik Malaysia secara majoritinya gila kuasa, kurang matang dan ego! 

Kita tetap tidak boleh menyalahkan mereka, kerana sudah menjadi hakikat politik di Malaysia bahawa merebut kuasa/jawatan menjadi kerajaan adalah segala-galanya; dan tiada etika atau moral bahkan nilai agama dapat menghalang perebutan kuasa tatkala peluang terhidang luas di depan mata mereka. 

Kalau boleh dibuat perumpamaan, “bolehkah serigala lapar (ahli politik rakus) dibawa berunding sedangkan ayam gemuk (kuasa kerajaan) menjemput masuk ke reban?”. 

Sesungguhnya, seruan berkompromi ini terlalu idealistik dan langsung tidak realistik – menyedari dan menginsafi hakikat dan sikap ahli-ahli politik di Malaysia dalam semua parti! (Perlukah saya mengingatkan Syed Saddiq bahawa beliau sendiri tidak “Pause!” berpolitik?).

Thomas juga bertanya soalan retorik bagaimana sebuah kerajaan yang baru sahaja beberapa bulan lepas diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia dalam mengurus krisis Covid-19 (secara relatif berbanding banyak negara lain) boleh tiba-tiba mengakui ia semakin terdesak dalam mengurus situasi Covid-19 sehingga mencetuskan “grave emergency”.

Saya jawab secara retorik juga: beberapa bulan lepas tiada pilihan raya negeri di Sabah dan beliau sendiri tiada bola kristal untuk meramal bahawa Covid-19 di Sabah boleh merebak sepantas kilat sehingga keseluruhan hospital kerajaan di Sabah dipenuhi pesakit! 

Setakat semalam pun sudah 1,228 kes baharu dilaporkan (menjangkau empat angka) – apakah ini belum cukup “grave emergency”?

Apakah kita perlu tunggu sehingga krisis kapasiti hospital/barisan hadapan menjadi bertambah runcing di negeri lain seperti di Sabah – barulah kita hendak kelam kabut mengakuinya sebagai “grave emergency”? 

Perlukah negara dicampak ke dalam ketidaktentuan luar biasa apabila Belanjawan 2021 benar-benar digagalkan di Dewan Rakyat buat pertama kalinya, barulah kita hendak mengakui wujudnya “grave emergency” – semasa peruntukan membeli ubat dan makanan untuk diagihkan kepada rakyat sudahpun terhenti serta-merta?

Hujah bahawa zon merah Covid-19 tidak meliputi seluruh negara dan justeru kononnya Perisytiharan Darurat tidak perlu meliputi seluruh negara, juga tidak mempelajari realiti sejarah. 

Apabila Darurat diisytihar pada 1969 juga, pertumpahan darah berlaku hanya di Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar yang bermasyarakat majmuk – namun Darurat tetap meliputi seluruh negara.

Ini disebabkan matlamat Darurat itu turut bersifat mencegah penularan ancaman berkaitan – maka bagi saya tiada salahnya seluruh negara sama-sama menghadapi dan memerangi Covid-19 sebagaimana mereka yang kurang bernasib baik terkurung di zon merah, memandangkan musuh ini tersembunyi dan sukar diatasi.

Saya meminta supaya ‘pakar-pakar’ perlembagaan negara yang sibuk memetik penghakiman dalam kes Teh Cheng Poh (1979) dan pelbagai duluan (precedent) daripada seluruh negara Komanwel, mengiktiraf sewajarnya bahawa perlembagaan kita adalah suatu dokumen yang ‘hidup’ dan boleh ditafsir dengan pelbagai cara yang memberi penyelesaian/solusi kepada rakyat. 

Janganlah disebabkan ketaksuban kepada penghakiman Majlis Privy (yang sebenarnya sudahpun lama ditinggalkan dalam sejarah perundangan negara selepas suatu Akta Parlimen memansuhkannya) dan duluan-duluan dari luar yang tidakpun menepati cabaran zaman dan perubahan masa, rakyat dan negara dihimpit dengan hujah yang tidak menawarkan kesudahan yang tuntas dan mendamaikan.

Kepada yang juga suka beretorik bahawa negara lain tidak perlu pun Darurat atau menggantung parlimen mereka, saya minta mereka lebih banyak membaca.

Mengikut laporan CGTN, setakat Mac 2020 lebih 70 buah negara sudah mengisythirkan Darurat kesihatan disebabkan Covid-19, termasuk Amerika Syarikat di mana Presiden Trump menggunakan Akta Stafford untuk menyediakan peruntukan khas 50 billion dollar dan menubuhkan Agensi Darurat Persekutuan. 

Sekurang-kurangnya diketahui Zambia, Montenegro dan Kanada adalah antara negara yang menggantung parlimen – sudah pastilah kerajaan di setiap negara tersebut (termasuk Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau) dikutuk hebat oleh pembangkang masing-masing. 

Namun keputusan tetap harus dibuat dan setiap kerajaan berhak menentukan hala-tuju masing-masing termasuklah di Malaysia. Jika Trudeau/Kanada boleh melakukannya, saya tidak nampak mengapa Muhyiddin/Malaysia pula perlu dilarang.

Akhir sekali, bagi mengetepikan sebarang tanggapan bahawa saya menyokong Darurat kerana saya berpihak kepada Muhyiddin atas sebab apa sekalipun.

Saya ingin menegaskan bahawa sebagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad, saya tidak menyokong sesiapa menjadi Perdana Menteri. 

Sebagai rakyat biasa, saya ok dengan ‘Darurat’ walau siapa sekalipun menjadi Perdana Menteri buat masa terdekat ini sama ada beliau atau orang lain, kerana saya melihat dan menginsafi bahawa hospital yang penuh di Sabah sudah memberi isyarat yang jelas bahawa suatu  “grave emergency” (yang beberapa bulan sebelum ini tidak pernah dijangkakan), sudahpun terjadi. – 25 Oktober, 2020.

* Ibnu Hussain, pembaca Malaysia Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen