Kapal selam hilang, ketua tentera laut Argentina dipecat


Tentera laut Argentina secara rasmi mengakhiri misi mencari dan menyelamat kapal selam San Juan yang hilang hilang di lautan Atlantik bersama 44 anak kapal. Berikutan itu, pelbagai kritikan demi kritikan diterima pihak tentera laut itu selain pemecatan hampir lima pegawai tinggi tentera laut Argentina. – Gambar AFP, 17 Disember, 2017.

BERIKUTAN kehilangan kapal selam beserta 44 orang anak kapal, ketua tentera laut Argentina telah dipecat Sabtu lalu.

“Menteri pertahanan minta beliau bersara. Ia berdasarkan keputusan politik,” kata pegawai tentera laut kepada AFP mengenai keputusan memecat Laksamana Marcelo Srur ketika kes penyiasatan kehilangan kapal selam masih berlangsung.

Srur adalah pegawai tertinggi kelima yang dilepaskan dari jawatan setakat ini berikutan kehilangan kapal selam ARA San Juan itu.

Sumber tentera berkata, Presiden Mauricio Macri berkemungkinan akan memecat ramai lagi pegawai tinggi tentera laut.

Sumber kerajaan juga memberitahu agensi berita tempatan Telam yang kerajaan sedang menubuhkan suruhanjaya penyiasatan dalaman yang akan dikepalai oleh kapten bersara Jorge Bergallo, komander kedua kapal selam itu.

Setakat ini, operasi pencarian antarabangsa masih gagal menemui kapal selam tersebut. Ada kemungkinan mengatakan 43 lelaki dan seorang wanita mungkin sudah mati dalam tragedi itu.

Namun, ahli keluarga mangsa terus menekan kerajaan meneruskan pencarian itu.

Kehilangan kapal selam San Juan merupakan tragedi terbesar melanda tentera laut negara itu selepas perang Falklands pada 1982. Dalam perang itu, Argentina kalah kepada Britain.

Sejak laporan berita mengenai kehilangan kapal selam itu pada 16 November, tak putus-putus kritikan demi kritikan diterima pihak tentera laut.

Dalam komunikasi terakhir pada 15 November oleh kapal selam itu, dilaporkan San Juan mengalami masalah bateri.

10 hari kemudian, pihak tentera laut mengesahkan berlaku letupan dalam kapal itu, yang mana pakar mengatakan ia mungkin diakibatkan oleh masalah bateri.

Ketika dalam puncak operasi mencari itu, berpuluh negara menghulurkan aset ketenteraan, termasuk kapal oseanografi dan kapal terbang.

ARA San Juan merupakan salah satu daripada tiga kapal selam milik negara itu, namun hanya sebuah sahaja kapal selam, iaitu ARA Salta, yang berfungsi. Manakala sebuah lagi, ARA Santa Crus telah diberhentikan kerana masalah serius yang perlu baik pulih secara total. – AFP, 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen