Bukan kaleng-kaleng orang untuk menasihati Agong


ISTILAH “bukan kaleng-kaleng”, yang berasal dari Medan, sudah pun menjadi istilah popular media sosial. Maksudnya mudah sebenarnya, iaitu “bukan sembarangan”.

Istilah ini pastinya boleh digunakan dalam isu yang sedang hangat diperkatakan, iaitu pengisytiharan darurat, kerana bukan kaleng-kaleng orang yang memberikan pandangan dan pendapat undang-undang – termasuklah dua mantan peguam negara – sejak dua hari yang lalu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tentunya, bak kata istilahnya dalam bahasa Inggeris, “spoilt for choice” untuk mendengar dan menerima pandangan pakar Perlembagaan.

Seseorang yang pastinya akan didengar oleh Baginda ialah Peguam Negara Idrus Harun.

Menjadi kewajipan peguam negara menasihati Baginda mengenai apa-apa perkara undang-undang dan beliau dituntut oleh Perlembagaan untuk menunaikan tugas ini, seperti dinyatakan dalam Perkara 145(2).

Dalam tugas ini, beliau perlu menasihati Baginda tanpa memihak. Bak kata orang Inggeris lagi, ‘without fear or favour’ – meskipun lantikan beliau adalah atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tetapi kalau pandangan peguam negara tidak memadai, Baginda boleh sahaja merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapat tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan yang telah berbangkit atau yang tampak pada Baginda mungkin berbangkit. 

Apabila dirujuk, Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Ini termaktub di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

Memang benarlah Baginda mempunyai banyak pilihan dalam mendapatkan pandangan atau pendapat pakar Perlembagaan, lebih-lebih lagi pakar itu bukan kaleng-kaleng pakar.

Bukan peguam negara. Bukan juga dua mantan peguam negara.

Tetapi Mahkamah Persekutuan. – 25 Oktober, 2020.

* Hafiz Hassan


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen