RM24.7 juta dari rakyat Malaysia untuk tabung Covid-19


Hailey Chung Wee Kye

Kos pengurusan wabak Covid-19 memerlukan dana yang mencukupi bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan awam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2020.

RAKYAT Malaysia menyumbang sebanyak RM24.7 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk digunakan bagi membeli keperluan perubatan dan perkhidmatan bagi menangani kes Covid-19 yang semakin meningkat, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Dr Chen Chaw Min.

Menurutnya jumlah itu dikutip menerusi akaun khas Covid-19 yang diaktifkan semula sejak 16 Oktober.

Dr Chen memberitahu The Malaysian Insight daripada jumlah itu, kementerian meluluskan RM11.8 juta untuk pembelian peralatan perubatan seperti alat bantuan pernafasan, termometer infra merah, utrasound dan katil manual.

“RM11.9 juta lagi diperuntukkan bagi kit ujian Covid-19 dan RM987,840 untuk penghantaran pegawai kementerian ke Sabah,” kata Dr Chen.

Tambahnya, dana itu akan diberi keutamaan untuk perbelanjaan lebih banyak khemah, pembelian peralatan, kemudahan, perkhidmatan dan keperluan lain untuk kementerian, serta penyelenggaraan peralatan, kemudahan dan perkhidmatan sedia ada daripada akaun ini.

Pengaktifan semula dana itu berdasarkan pelbagai pihak seperti syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang manhu menyumbangkan wang tunai kepada Kementerian Kesihatan, yang kekurangan dana untuk mengekang pandemik.

Sebagai badan kerajaan, kementerian tidak dibenarkan meminta derma daripada pihak lain melainkan ia diberi secara sukarela oleh penderma.

“Memandangkan kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku pada gelombang ketiga pandemik Covid-19, kementerian akan terus menerima sumbangan di bawah Tabung Amanah ini.

“Kami percaya dengan kelulusan potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh Kementerian Kewangan, ia akan membantu meningkatkan jumlah kutipan,” katanya.

Dr Chen berkata terdapat keperluan berterusan untuk dana tambahan dan bantuan dalam bentuk lain sehingga wabak berakhir dan vaksin Covid-19 tersedia.

Selain sumbangan awam, Dr Chen memaklumkan kementerian turut menerima RM1 bilion daripada kerajaan untuk pembelian keperluan perubatan berkaitan Covid-19 dan mengekalkan perkhidmatan.

Ini termasuk pemindahan pesakit bukan Covid-19 ke pusat perubatan swasta dan memproses sampel Covid-19 di makmal swasta bagi mengurangkan beban hospital dan makmal kerajaan.

Akaun khas Covid-19 ditubuhkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan di bawah Seksyen 9, Akta Prosedur Kewangan 1957 pada 23 Mac.

Kementerian menghentikan kutipan Tabung Amanah pada 31 Mei dengan jumlah kutipan RM31.6 juta ketika jumlah kes Covid-19 turun mendadak.

“Sama seperti yang berlaku sebelum ini, kementerian akan pertimbangkan untuk tidak mengaktifkan akaun khas apabila jumlah kes Covid-19 yang disahkan menunjukkan penurunan mendadak,” kata Dr Chen.

Aliran wang untuk bantu Sabah

Antara pihak yang tampil membantu kementerian adalah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), yang mewakili badan pengamal perubatan berdaftar di Malaysia.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata dana Covid-19 Sabah telah menerima maklum balas daripada syarikat, NGO dan individu.

“Dengan bantuan MMA dan Yayasan MMA, MMA Sabah mengetuai untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam menyalurkan bantuan tunai dan lain-lain untuk disalurkan kepada pelbagai kemudahan kesihatan di negeri itu.

“Ada syarikat yang tampil untuk tawarkan khidmat percuma. Dan daripada April hingga Jun, RM1 juta dikutip daripada Tabung Shopee MMA Covid-19.”

Senada dengan kenyataan Chen, Subramaniam turut bersetuju derma awam adalah penyelesaian sehingga vaksin yang terbukti selamat dan berkesan tiba.

“Dengan peningkatan kes, keutamaan dan keperluan negeri berubah setiap hari.

“Ini merupakan langkah sementara yang dilaksanakan untuk membantu dan menangani peningatan kes yang melonjak dalam komuniti di Sabah.”

Tambah Subramaniam kerajaan negeri Sabah turut bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan kementerian untuk penyelesaian jangka panjang pandemik ini.

“Antaranya meningkatkan dana, infrastruktur, tenaga kerja dan perkongsian awam-swasta dalam penjagaan kesihatan.”

Ketika ini, Sabah merekodkan kes Covid-19 tertinggi di Malaysia, iaitu 5,830 kes daripada jumlah keseluruhan 8,416 kes aktif di negara ini. – 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen