PKPB di Lembah Klang akan diputuskan nanti, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memerhati rapat perkembangan data harian dan akan memberi keputusan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika PKPB perlu dilanjutkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia sedang memantau jumlah kes Covid-19 dan akan mempertimbangkan sama ada akan menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya atau tidak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah memerhati rapat perkembangan data harian dan akan memberi keputusan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika PKPB perlu dilanjutkan.

“Jika tidak ada peningkatan minggu hadapan, maka kita tidak akan (dilanjutkan).

“Sekarang, kita memantau setiap hari jika kita perlu menyambung atau tidak,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan sentiasa menyemak data dan memutuskan keperluan untuk menyambung PKPB atau tidak.

“Tapi hari ini, kes meningkat.”

Malaysia hari ini melaporkan peningkatan empat digit, paling tinggi sejak pandemik melanda, iaitu dengan jumlah kes positif sebanyak 1,228.

Paling ketara peningkatan ini boleh dilihat di Sabah di mana dilaporkan sentiasa merekodkan kes paling tinggi sebanyak 889 kes.

Negeri di bawah bayu itu menjadi tumpuan utama dalam gelombang ketiga pandemik di Malaysia kerana negeri itu menyumbang kes yang paling banyak sejak beberapa minggu lalu. – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen