Apa jadi jika Agong tidak perkenan cadangan darurat?


Saya telah mendapat khabar semalam bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bertitah untuk membincangkan dahulu dengan Majlis Raja-raja sebelum baginda membuat keputusan tentang cadangan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Langkah Yang di-Pertuan Agong ini satu keputusan yang bijak dan tertib.

Pada hemat saya terdapat beberapa sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong memilih untuk memperhalusi sedalamnya cadangan darurat ini dan tidak sewenang-wenang memperkenankannya.

Pertama, sekiranya terdapat cara atau pilihan lain yang boleh dilakukan dahulu sebelum langkah pengisytiharan darurat dibuat memandangkan ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

Contohnya, apakah ada peruntukan undang-undang lain yang boleh digunapakai atau dikuatkuasa dengan lebih ketat untuk menangani dan mengekang ancaman wabak Covid-19.

Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (atau Akta 342) yang digunapakai kini membolehkan sesuatu kawasan jangkitan penyakit yang spesifik dikuarantin dan disita tanpa pengisytiharan darurat secara menyeluruh di seluruh negara.

Mungkin tidak masuk akal jika kawasan-kawasan yang bebas Covid-19 di negeri yang tidak kritikal pun terpaksa melalui perintah darurat kerana peningkatan kes Covid-19 di suatu daerah wabak di negeri lain yang kritikal.

Ini terutamanya jika negeri-negeri ini berjauhan dan perintah larangan merentas sempadan negeri boleh dikenakan semula tanpa darurat.

Oleh itu, pertimbangan perlu dibuat sama ada Perintah Kawalan Pergerakan sedia ada dan kuasa-kuasa yang tertakluk di bawah Akta 342 atau akta-akta lain memadai untuk dikuatkuasa dengan lebih ‘targeted’ atau bersasar dan berkesan untuk menangani kenaikan jangkitan wabak Covid-19 baru-baru ini, sebelum darurat secara pukul rata di seluruh negara diisytihar.

Salah guna politik

Kedua, untuk mengelak peruntukan darurat dalam Perlembagaan disalahguna untuk kepentingan politik.

Dalam sejarah dunia, darurat akibat politik ini pernah berlaku namun tidak sepatutnya.

Pada 12 Jun 1975, Perdana Menteri India Indira Gandhi dilucutkan jawatan Ahli Parlimen dan Perdana Menteri oleh mahkamah atas kesalahan pilihan raya.

Pada hari sama, untuk mengelak hilang jawatan, Indira Gandhi menulis draf ordinan pengisytiharan darurat dan mengangkat cadangan ordinan ini kepada Presiden India ketika itu iaitu Fakhruddin Ali Ahmed.

Keesokan harinya, atas persetujuan Presiden, Indira Gandhi mengisytiharkan darurat dan kekal sebagai perdana menteri.

Sebaik selepas pengisytiharan darurat, ramai pemimpin politik yang menentang perdana menteri telah ditangkap, kebebasan media dikekang dan penghakiman mahkamah digantung.

Setahun selepas itu pada Ogos 1976 – dalam tempoh darurat, Indira Gandhi telah menggubal Perlembagaan dengan Artikel 41 yang menyatakan bahawa tindakan undang-undang jenayah atau sivil tidak boleh diambil ke atas Presiden dan Perdana Menteri semasa mereka memegang jawatan atau selepas bersara selama seumur hidup mereka.

Pada tahun 1977, kerana terpaksa akibat tekanan rakyat, Indira Gandhi membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum dan menamatkan darurat.

Pada pilihan raya umum tersebut, beliau dan parti Kongres kalah teruk dengan kehilangan hampir separuh daripada 352 kerusi yang mereka menang sebelum itu.

Rakyat telah nampak agenda mereka dan menolak mereka.

Sidang Parlimen

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan cadangan darurat Muhyiddin, maka Perlembagaan dan Parlimen tidak akan digantung. Sidang Parlimen yang dijadual pada bulan hadapan akan diteruskan.

Walaupun terdapat permohonan usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri dalam sidang Parlimen ini, usul ini besar kemungkinan tidak akan dibentang atau diundi kerana prosedur Parlimen yang membolehkan usul-usul yang bukan melibatkan urusan kerajaan (seperti usul undi tidak percaya) diletak di keutamaan terkebelakang, oleh itu, tidak akan sempat dibentang.

Namun pada sidang Parlimen kali ini akan ada pembentangan perbelanjaan kerajaan untuk Belanjawan 2021 yang memerlukan undian Ahli-ahli Parlimen untuk diluluskan.

Sekiranya kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dalam dewan untuk usul Belanjawan ini, maka ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti.

Apabila ini berlaku maka Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain meletakkan jawatan dan/atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Dengan pembubaran Parlimen, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik perdana menteri sementara yang lain selain Muhyiddin. Baginda juga boleh melantik kembali Muhyiddin jika Baginda perkenan.

Sekiranya wabak Covid-19 masih belum reda, maka tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas pembubaran Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan boleh dilanjutkan dengan pengisytiharan darurat.

Dalam tempoh darurat ini kuasa adalah di tangan Perdana Menteri sementara yang baru tersebut, yang memegang kuasa-kuasa yang diwakili secara statut atau prerogatif (delegated statutory or prerogative powers) dari Yang di-Pertuan Agong semasa tempoh darurat sehingga pilihanraya diadakan.

Jalan keluar

Cadangan saya ialah: untuk mengelakkan jalan yang panjang dan memakan masa tetapi dengan pengakhiran yang sama (darurat) seperti di atas, adalah lebih afdal untuk rakyat dan negara jika Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri terlebih dahulu dan menyerahkannya kembali kepada budibicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan sepenuhnya sama ada untuk melantik Perdana Menteri yang baru, membubarkan Parlimen, atau mengisytiharkan darurat.

Langkah ini adalah lebih sopan dan ‘gentleman’ iaitu dengan memberi ruang sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan tanpa apa-apa kekangan atau paksaan (jika ada). – 24 Oktober, 2020.

*Isham Jalil merupakan Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen