Abang Jo enggan ulas tentang perintah darurat


Desmond Davidson

Ini perkara yang sangat serius. Awak tak boleh senang-senang bagi komen tentang topik yang sangat serius, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Oktober, 2020.

KETUA Menteri Sarawak hari ini enggan mengulas mengenai rancangan Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

“Saya tak mahu ulas mengenai khabar angin. Macam mana nak komen kalau tak ada maklumat terperinci?” kata Abang Johari Openg kepada pemberita di Samarahan pagi ini.

“Ada laporan yang mendakwa darurat akan diumumkan malam tadi. Tak ada apa-apa (pengumuman).”

Abang Johari, yang seperti tertekan dengan soalan berhubung keputusan Putrajaya untuk melaksanakan perintah darurat itu berkata, bagaimana beliau boleh setuju atau tidak sedangkan beliau tidak ada maklumat lanjut mengenai cadangan darurat itu.

“Setuju atau tidak, saya tak tahu. Bagaimana nak ulas kalau tak ada maklumat terperinci?

“Tak adil untuk minta saya bagi komen kalau tak ada maklumat terperinci.

“Ini perkara yang sangat serius. Awak tak boleh senang-senang bagi komen tentang topik yang sangat serius.

“Biar kita lihat dahulu maklumat terperinci. Bersikap adil lah dengan kita.”

Semalam, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Abdul Karim Hamzah berkata, jika ianya adalah darurat kesihatan untuk melawan peningkatan kes Covid-19, maka ia harus bersyarat dan dikenakan di negeri atau daerah yang paling teruk terjejas contohnya seperti di Sabah.

Karim berkata tidak boleh ada pilih kasih malah tidak patut dikenakan di Sarawak kerana situasi Covid-19 masih terkawal dengan laporan cuma satu digit sahaja.

Katanya, Sarawak bukanlah berada di tahap yang perlu dikenakan perintah darurat.

Karim juga berkata beliau tidak percaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menggunakan perintah darurat untuk menangani situasi politik yang dihadapinya.

“Tak patut dilaksanakan untuk tutup suara pembangkang kalau hanya disebabkan tak dapat undi tidak percaya.

“Saya tak fikir itu salah satu sebab untuk melaksanakan darurat,” katanya. – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen