Menunggu titah Tuanku


Jahabar Sadiq

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ingin berunding dengan Raja-raja Melayu lain dalam mesyuarat khas hujung minggu ini mengenai cadangan darurat kerajaan PN. – Gambar Instagram, 24 Oktober, 2020.

PERTEMBUNGAN antara 222 orang di Dewan Rakyat kini menyeret seluruh rakyat Malaysia dan seakan mahu mencampakkan negara kembali diletakkan di bawah perintah darurat.

Kali terakhir ia dikenakan di seluruh negara ialah pada Mei 1969 selepas rusuhan kaum yang tercetus. Sekarang alasannya pelbagai, daripada untuk memastikan Belanjawan 2021 lulus sampailah kepada untuk mengelak pilihan raya yang boleh meningkatkan lagi penularan Covid-19.

Tidak begitu jelas apa alasannya tetapi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dipilih untuk memegang jawatannya pada 29 Februari 2020, bergegas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuantan semalam.

Muhyiddin bersama rombongannya yang disertai anggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) diperkenankan menghadap selama dua jam.

Baginda difahamkan bertitah mahu berunding dengan Raja-raja Melayu yang lain dalam mesyuarat khas hujung minggu ini.

Namun bukankah memohon perintah darurat, seperti yang dilaporkan oleh media, petanda kerajaan Muhyiddin sudah hilang majoriti parlimen?

Tidakkah ia meneguhkan dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 23 September dan semasa menghadap Agong pada 13 Oktober bahawa beliau ada “sokongan yang kukuh dan meyakinkan” untuk jadi perdana menteri?

Hakikatnya perintah darurat pada masa ini membayangkan sebuah kerajaan yang bertarung nyawa politik dan menggunakan pandemik Covid-19 yang melonjak semula sebagai alasan untuk mengelak apa saja bentuk pengundian terhadapnya.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa meminta mereka yang mengkritik cadangan penggunaan kuasa darurat supaya mencadangkan jalan keluar bagi mengelak pilihan raya.

Beliau memetik satu undian dalam talian yang menunjukkan 87% responden tidak mahu pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi dan pilihan raya negeri (PRN)  Sarawak diadakan kerana pandemik.

PRK Batu Sapi dijadual pada 5 Disember sementara PRN Sarawak perlu diadakan tahun depan sebelum mandat kerajaannya berakhir pada 7 Jun.

“Tolong beri nasihat undang-undang mana boleh dipakai apabila pengundi Batu Sapi mahu kerajaan tangguhkan pilihan raya kecil? Undang-undang mana boleh dipakai apabila rakyat Sarawak mahu pilihan raya negeri mereka ditangguhkan kerana bimbang apa yang berlaku di Sabah?

“Dan undang-undang mana boleh dipakai apabila 87 peratus pengundi mengatakan mereka tidak mahu pilihan raya umum kerana takut Covid-19 merebak,” tulisnya di Twitter malam tadi.

Namun peguam dan ahli politik pembangkang berhujah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2012 memadai untuk membendung pandemik Covid-19.

Akta MKN membenarkan perdana menteri untuk mengisytihar darurat setempat, tetapi perkara itu boleh dibahas di Parlimen.

Apa yang pasti hanya Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat ketika kedua-dua dewan Parlimen tidak bersidang.

Itu sebabnya yang bergegas ke Kuantan semalam, hanya lebih kurang seminggu sebelum Dewan Rakyat bersidang untuk membahaskan Belanjawan.

Barang diingat, Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak pun tidak memilih jalan untuk perisytiharan darurat semasa mereka berdepan dengan krisis politik masing-masing – Reformasi pada 1988 selepas Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri atau selepas Barisan Nasional kalah pilihan raya umum 2018.

Memanglah kerajaan Dr Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hampir 33 tahun lalu pada 27 Oktober 1987 yang menahan tanpa bicara 106 ahli politik, aktivis, dan ahli akademik.

Namun kerajaan Najib memansuhkan ISA pada Jun 2012.

Ini menyebabkan kerajaan Muhyiddin tiada banyak pilihan untuk memastikan ia dapat meluluskan belanjawan dengan majoriti tipis dan rakan sekutu yang tidak begitu boleh dipercayai di Parlimen.

Atau seperti yang disebut oleh Annuar, untuk mengelakkan pilihan raya yang tidak dikehendaki oleh sesiapa di tengah wabak yang menular.

Lebih berat penyakitnya, lebih susah mengubatinya. Sekarang terserah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu meneliti dan memutuskan apa yang baik untuk Malaysia, sama seperti yang mereka lakukan pada Februari lalu. – 24 Oktober, 2020

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen