Pengusaha pelancongan Pulau Pinang kecilkan operasi elak gulung tikar


Zaim Ibrahim

Pusat eko-pelancongan seperti Taman Burung Pulau Pinang paling terjejas akibat perlaksanaan PKP. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

PENGUSAHA pelancongan di negeri Pulau Pinang terpaksa mengecilkan operasi ke tahap minimum bagi mengelak gulung tikar ekoran penyusutan semula pengunjung.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, keadaan kembali merosot apabila kawalan lebih ketat dikuatkuasa di negeri itu dan beberapa negeri lain termasuk di ibu negara.

Walhal Pulau Pinang pernah menikmati status zon hijau selama beberapa bulan apabila tiada sebarang kes dikesan di negeri itu.

Menurut pengusaha ini, perniagaan mereka baru sahaja mula stabil semula selepas Putrajaya membenarkan orang ramai merentas negeri pada Jun lalu.

Namun kemunculan kluster baharu di Pulau Pinang sejak dua bulan lalu memburukkan semula keadaan, menyebabkan kawalan lebih ketat dilaksana di beberapa kawasan.

Ia seterusnya menyebabkan pengusaha ini mengurangkan jumlah pekerja, mengurangkan gaji, dan mengurangkan hari bekerja, kata pengusaha ini.

Salah seorang daripadanya, Dr Gino Ooi, pengasas Taman Burung Pulau Pinang yang mula dibuka sejak tahun 1988.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, itulah kali pertama beliau menyaksikan tiada sebarang pengunjung datang ke taman tersebut dan kini ia berulang lagi.

“Minggu lepas kita dapat berita ada kluster baharu di penjara Pulau Pinang. Jumlah dijangkiti ramai dan ia timbulkan panik.

“Saya sendiri tidak sangka apabila keesokkan harinya, tiada langsung orang datang sepanjang hari.. dan dua tiga minggu barulah keadaan beransur pulih,” kata beliau ketika ditemui di Seberang Jaya.

Jelasnya, pusat eko-pelancongan seperti Taman Burung itu paling terjejas kerana masih perlu beroperasi setiap hari untuk memberi makanan dan menjaga kesihatan haiwan tersebut.

“Malah kos operasi kita lebih tinggi ketika PKP. Ini disebabkan, pembekal-pembekal makanan haiwan tidak boleh hantar makanan kerana sekatan.

Beliau memberi contoh, bekalan buah pisang biasanya diperolehi dari pembekal di Baling yang mengambil buah dari Thailand dan menjual kepada pengusaha dengan harga RM2.20.

“Tetapi, sebabkan PKP mereka tidak boleh bergerak jadi kita perlu membeli pisang daripada peniaga tepi jalan dengan harga lebih mahal, iaitu RM5 hingga RM6 sekilo,” katanya.

Beliau bersyukur apabila April lalu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengumumkan bantuan dana kepada pusat haiwan sepertinya.

Ia membantu pengusaha ini menampung kos makanan dan pembasmian kuman selama enam bulan, jelas beliau.

Dr Gino berkata beliau membuka taman itu kerana meminati unggas tetapi apabila apabila pandemik menular, beliau pernah terfikir untuk menutup sahaja taman itu.

“Saya sangat berharap kerajaan tidak akan melakukan PKP sekali lagi. Dengan cara itu kita boleh kekalkan taman burung ini. Walaupun tak buat duit, burung adalah hobi, hidup saya.

“Dalam sebulan, kita memerlukan RM80,000 sebagai  kos operasi, jadi kita cuma turunkan kos daripada segi makanan haiwan. Daripada makanan yang mahal, kita cari makanan yang murah.

“Kita cuba melihat beberapa pembekal yang boleh memberi harga murah tetapi kualiti masih baik,” tambahnya.

Bagi menarik pelancongan dalam negeri, Dr Gooi berkata, pihak Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (Atap) bersetuju menurunkan harga tiket 50% bagi semua tempat tarikan di negeri itu.

Pengasas Taman Burung Pulau Pinang Dr Gino Ooi. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2020.

Satu lagi pusat tarikan, Ghost Museum di Georgetown pula terpaksa mengurangkan pekerja hampir 70% untuk mengelak daripada menghentikan operasi sepenuhnya, kata pengusaha.

Pengarah pembangunannya Muhammad Hazlami Mohd Rosli berkata pengurangan dari 60 kakitangan itu terpaksa dilakukan untuk mengelak gulung tikar.

“Dalam tempoh Jun hingga Ogos, kita dapatlah keuntungan tetapi sejak bulan September, pendapatan kita sekadar mencukupi menanggung kos operasi.

“Kita tidaklah alami kerugian yang buruk, tetapi kita perlu ambil langkah drastik dengan mengurangkan staf kerana pelancong tidak ramai.

“Kami hanya beroperasi untuk bertahan, bukannya untuk mencari keuntungan,” jelas beliau kepada The Malaysian Insight.

Antara Jun hingga Ogos, pusat itu biasanya menerima ramai pelancong dari Arab tapi pada tahun ini keuntungan merosot 90% walaupun selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan pada Jun.

“Bagi bulan September 2020, pengunjung kita menurun 70% berbanding tahun lepas. Keuntungan kita juga hanya 10% daripada tahun lepas.

“Kita tiada rancangan untuk hentikan operasi muzium ini, kita cuma kurangkan kos operasi.

“Contohnya, tiada lagi pemandu pelancong untuk bawa pengunjung ke dalam muzium tetapi disediakan peta, supaya mereka boleh teroka sendiri.

“Kami sekarang dalam langkah untuk kembangkan perniagaan kita dengan cara yang berbeza,” tambahnya.

Menurut Halzami, muzium itu biasanya menerima ramai pengunjung tempatan pada musim cuti sekolah namun mereka tidak dapat menetapkan sasaran dan bagi bulan November hingga Disember.

“Kita hanya harapkan perniagaan dapat terus dijalankan walaupun tidak membawa keuntungan yang banyak. Kalau cuti sekolah pun tetapi kes meningkat kita tidak mampu melakukan apa-apa.

“Sukar untuk letak harapan, cuma kita akan beroperasi dengan kadar minimum dan cuba promosikan cenderahati sebagai salah satu langkah memulihkan kewangan syarikat,” jelas beliau.

Satu lagi anggota Atap, taman rama-rama Entopia di Teluk Bahang, juga berdepan situasi sukar apabila sempadan negara ditutup kerana 50% pengunjungnya terdiri daripada pelancong luar.

Ketua Jabatan Penjualan dan Pemasaran Entopia May Ang berkata mereka hanya menerima 40,000 pengunjung dalam masa empat bulan apabila dapat beroperasi semula pada Jun.

“Dalam keadaan sekarang, kami tidak boleh berharap terlalu tinggi kerana sedar, sektor pelancongan merupakan perniagaan paling teruk terkesan akibat Covid 19.

“Kami juga bersyukur kerana rakyat Malaysia melawat ke taman ini sebagai tanda sokongan pelancongan domestik,” katanya.

Jelasnya, kadar kemasukan pengunjung menyusut 60% lebih-lebih lagi ketika mula wujud beberapa kluster baharu di Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor.

“Kami tidak meraih sebarang pendapatan selama tiga bulan sejak PKP dan kemudian, sejak Jun hingga September, kita mengalami kerugian RM3.25 juta.

“Secara keseluruhan, jumlah kerugian 58% sepanjang tempoh Januari hingga September 2020 berbanding tahun lepas pada tempoh yang sama,” kata beliau.

Tambahnya, bagi meneruskan perniagaan, pihak Entopia telah diberi bantuan berbentuk geran oleh Perhilitan untuk memberi makanan kepada haiwan.

“Tuan tanah kami menangguhkan bayaran sewa selama enam bulan selain kita juga dibantu program subsidi gaji oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Bantuan-bantuan ini membantu kami untuk terus hidup dalam menghadapi krisis Covid 19,” jelas beliau.

Namun, pihak Entopia juga terpaksa memotong gaji pekerja kepada semua kakitangan termasuk menawarkan cuti tanpa gaji.

“Kami melaksanakan pemotongan gaji kepada semua staf dan menawarkan cuti tanpa gaji, supaya dapat mengekalkan tenaga kerja dan tidak memberhentikan mereka.

Tambahnya mereka pada awalnya hanya beroperasi empat hari seminggu tetapi kini kemudian melanjutkan kepada enam hari seminggu untuk menggalakkan pelancongan domestik.

Entopia juga kini mengurangkan harga tiket 50% hingga akhir tahun dengan bantuan kerajaan negeri dan Atap.

Sejak September lalu, beberapa kluster muncul di Pulau Pinang antaranya Kluster Penjara Reman, Kluster Ara, Kluster Penjara Seberang Perai, dan terbaru Kluster Alma.

Sehingga 23 Oktober, 527 kes aktif dicatatkan di negeri itu dan secara keseluruhan, Pulau Pinang mencatatkan 731 kes dan tiga kematian akibat pandemik tersebut. – 25 Oktober, 2020. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen