Tidak perlu darurat, biar Dewan Rakyat buat keputusan, kata penganalisis


Noel Achariam

Peguam dan pakar politik berkata jika terdapat masalah politik, ia harus dibawa ke Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

TIDAK perlu mengumumkan darurat sama ada untuk memerangi wabak Covid-19 atau menyelesaikan ketidakpastian politik kerana negara masih mempunyai kerajaan yang berfungsi, kata seorang peguam terkemuka dan pakar politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, menggunakan wabak sebagai satu daripada alasan darurat adalah tidak masuk akal kerana terdapat peruntukan undang-undang kesihatan bagi mengatasi masalah tersebut.

Jika berhubung masalah politik, ia harus dibawa ke Dewan Rakyat, kata mereka.

Ini adalah cara demokratik menyelesaikan segala kebuntuan yang terjadi dalam bidang politik dan kesihatan, sambil menambah kedua-dua situasi tersebut belum sampai ke tahap kritikal yang memerlukan negara berada di bawah pentadbiran darurat.

Itu adalah respons terhadap berita yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) merancang memperkenalkan langkah darurat ketika pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dua jam dengan Yang di-Pertuan Agong di Kuantan, Pahang semalam, beberapa jam selepas beliau mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya pada awal pagi.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata keadaan semasa bukanlah alasan yang cukup kuat untuk mengisytiharkan darurat.

“Bukannya situasi tidak terkawal. Kita masih mempunyai kerajaan,” kata Tunku Mohar.

Beliau berkata sebagai contoh, jika kerajaan diketuai Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, maka seseorang yang mempunyai majoriti sepatutnya boleh memimpin kerajaan baharu.

“Saya rasa jika itu tidak dapat dicapai dan ada masalah yang timbul dari hal ini, maka barulah ada alasan untuk mengisytiharkan darurat.

“Saya rasa darurat bukanlah pilihan yang baik kerana akan menggantung demokrasi di negara ini.”

Tunku Mohar berkata, kebuntuan politik harus diputuskan oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan bukannya Agong.

“Ia harus melalui ujian sokongan di Parlimen. Mereka harus meneruskan dengan undi tidak percaya.

“Ia seperti kita kembali ke zaman feudal yang meminta Agong memutuskan bagi pihak kita, sedangkan rakyat boleh melakukannya melalui institusi demokrasi kita.

“Lebih baik membawanya kembali ke Parlimen untuk membuat keputusan daripada mengisytiharkan darurat. Institusi kita dibina untuk tujuan ini.”

Tunku Mohar juga bersetuju dengan surat ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah kepada speaker Dewan Rakyat.

“Saya rasa perkara ini harus diberi keutamaan dalam sidang Parlimen akan datang kerana kita ingin mengetahui siapa yang mempunyai majoriti.

“Saya setuju dengan surat Ku Li (Tengku Razaleigh). Speaker (Azhar Azizan Harun) sebagai ketua Dewan harus menunjukkan beberapa bentuk kebebasan yang sesuai dengan peranannya. “

Dalam surat kepada speaker bulan lalu, Tengku Razaleigh menggesa speaker membenarkan usul tidak percaya itu diajukan untuk menentukan sama ada Muhyiddin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimennya.

“Usul tidak percaya harus diberikan perhatian segera di Dewan Rakyat sehingga kepemimpinan Muhyiddin mendapat pengesahan sewajarnya daripada Parlimen,” katanya dalam surat itu.

Tidak wajar gunakan wabak sebagai alasan kerana terdapat peruntukan undang-undang kesihatan bagi mengatasi masalah yang timbul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

Darurat bukan tindakan tepat

Peguam terkemuka Andrew Khoo berkata bukan tindakan yang tepat untuk mengisytiharkan darurat sekiranya berlaku krisis politik kerana ia hanya menyokong status quo.

“Melakukannya sudah merupakan tindakan yang berpotensi sebagai berat sebelah, yang menyebelahi kerajaan semasa.

“Jika anda mengisytiharkan darurat, ini masih memberi hak kepada kerajaan hari ini untuk mengendalikan pemerintahan negara, kerana ia sekarang sedang berkuasa,” katanya.

Beliau juga mempesoalkan bila krisis politik menjadi krisis keselamatan negara.

“Ini juga berbahaya kerana keterlaluan.

“Mereka mengemukakan idea mengenai isu keselamatan negara untuk melindungi apa yang pada dasarnya adalah isu politik,” kata Khoo, sambil menambah kerajaan harus membiarkan usul tidak percaya diberi keutamaan pada sidang Parlimen akan datang.

“Ada cara untuk menyelesaikannya, iaitu dengan mengadakan undi percaya dan tidak percaya di Parlimen, yang seharusnya dilakukan pada Mac.

“Ketidakpastian politik selama berbulan-bulan ini dapat dihindari jika Muhyiddin, selepas dilantik sebagai perdana menteri, mengadakan usul percaya.

“Kekacauan politik ini adalah keputusan kerajaan sendiri dan tidak wajar,” katanya.

Beliau menambah jika terdapat keadaan darurat kesihatan, ada undang-undang yang boleh digunakan.

“Ada cara untuk mengenakan kawalan pergerakan lebih ketat, yang boleh dilakukan tanpa mengisytiharkan darurat,” kata Khoo. – 24 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen