Libatkan lebih ramai pekerja dalam skim subsidi upah, kata majikan


Khoo Gek San

Semua pekerja tanpa mengira tangga gaji bulanan perlu dilindungi daripada kehilangan pekerjaan ketika Covid-19, kata majikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

SEKTOR niaga menggesa kerajaan melanjutkan program subsidi upah untuk membantu mereka mengatasi cabaran ekonomi serta meluaskannya bagi meliputi lebih ramai pekerja kerana tiada siapa tahu bilakah pandemik Covid-19 akan berakhir.

Putrajaya mengumumkan program itu April lepas, sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi untuk melindungi pekerjaan dan membant majikan yang berdepan masalah aliran tunai disebabkan tanggungan pekerja.

Di bawah program itu, majikan tidak dibenarkan membuang pekerja mereka sepanjang program subsidi upah dilaksana dan tiga bulan selepas ia berakhir.

Hanya pekerja bergaji sebulan kurang RM4,000 layak menerima subsidi. Majikan dan pekerja perlu berdaftar dan menjadi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk layak menggunakan skim itu.

Majikan, bagaimanapun, memberitahu The Malaysian Insight yang skim itu perlu dipinda bagi melibatkan pekerja bergaji bulanan lebih RM4,000 kerana kumpulan itu juga terjejas dengan pandemik dan kelembapan ekonomi semasa.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata pekerja bergaji lebih RM4,000 sebulan juga adalah ahli Perkeso yang juga perlukan perlindungan daripada hilang kerja.

“Bila sebut soal pembuangan, pekerja dengan gaji kurang RM4,000 sebenarnya kurang terjejas. Data semasa menunjukkan yang 52% pekerja yang dibuang bergaji lebih daripada RM4,000. Ini juga berkaitan dengan kegagalan kerajaan menyediakan elaun (subsidi upah).

“Subsidi upah perlu dilanjutkan ke kumpulan bergaji lebih RM4,000, meliputi semua orang. Kerana tidak kisahlah sama ada gaji bulanan mereka adalah RM20,000 atau RM30,000, mereka semuanya mencarum (kepada Perkeso) dan patut dilibatkan dalam dasar ini.”

Shamsuddin berkata buat masa sekarang ramai pekerja tidak layak untuk subsidi kerajaan, menambah yang Putrajaya patut memasukkan insentif dan subsidi kepada perniagaan dalam Belanjawan 2021.

“Dasar ini penting kerana ia akan memastikan sektor swasta masih boleh bernafas (bertahan).” – 24 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen