SEORANG peniaga barangan kosmetik kerugian RM62,340 selepas ditipu sindiket permainan dalam talian yang menawarkan pulangan keuntungan berlipat ganda, dalam tempoh singkat baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 42 tahun itu tertarik dengan permainan tersebut selepas melayari satu aplikasi sebelum berkenalan dengan seorang wanita yang menganjurkan permainan berkenaan.
“Mangsa yang tinggal di Sungai Dua, bermain permainan itu bermula 16 Oktober hingga semalam dan dipujuk oleh wanita berkenaan melalui aplikasi WhatsApp untuk menambah wang permainan secara berperingkat agar keuntungan yang bakal diterima akan bertambah lumayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudiannya telah diumpan dengan keuntungan awal berjumlah RM6,820 dan telah melakukan 10 transaksi kemasukan wang ke tujuh akaun bank diberikan suspek tersebut yang berjumlah RM62,340.00.
“Wanita itu hanya menyedari ditipu setelah suspek yang menganjurkan permainan tersebut gagal dihubungi sebelum bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sindiket itu,” katanya kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama, 23 Oktober, 2020.
Komen