Kerana AS iktiraf Baitulmaqdis, 2 cedera ditikam di Gabon


2 rakyat Denmark ditikam di Gabon oleh penyerang yang melaungkan Allahu Akbar, tindakan yang dilihat sebagai reaksi kepada keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis. – Gambar AFP, 17 Disember, 2017.

DUA rakyat Denmark cedera ditikam pada Sabtu dalam satu serangan di ibu kota Gabon. Serangan itu disifatkan sebagai satu tindak balas kerana “serangan AS terhadap orang Islam”, sesuatu yang sangat jarang berlaku di negara Afrika Tengah itu yang selama ini berjaya mengelak dirinya terheret dalam keganasan dilakukan pengganas Islam.

Dua lelaki itu yang bekerja untuk saluran Nasional Geographic ditikam ketika sedang membeli belah di pasar yang terkenal dalam kalangan pelancong, kata Menteri Pertahanan Etineen Massard yang turut menambah serangan itu mempunyai motif politik.

“Menurut keterangan pertama di tempat kejadian, penyerang itu ialah seorang lelaki Nigeria berumur 53 tahun yang melaungkan ‘Allahu Akbar’ ketika serangan. Dia ditahan serta merta,” kata Massard.

Lelaki itu yang menetap di Gabon sejak 19 tahun lalu, “dalam keterangan pertamanya mengatakan dia bertindak demikian sebagai tindak balas AS menyerang orang Islam dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel”.

Dua mangsanya sudah dihantar ke hospital di Libreville, salah seorang dalam keadaan kritikal, kata jurucakap kerajaan Alain-Claude Bilie By Nze kepada AFP.

Kementerian Luar Denmark mengesahkan dua rakyatnya “cedera di Gabon” tetapi tidak memberikan penjelasan lanjut.

Massard mengatakan kerajaan menafsirkan serangan itu sebagai “tindakan terpencil” dan siasatan penuh sudah dilancarkan.

“Susulan tindakan bacul dan hina ini, kerajaan mahu mengatakan kepada semua orang yang Gabon tidak akan menjadi pentas serangan yang bertentangan dengan cara hidup kita,” katanya pada satu ucapan disiarkan media negara itu.

“Akan dipastikan yang penyerang dan mana-mana rakan subahatnya dihukum mengikut undang-undang.”

Gabon, sebuah negara bekas jajahan Perancis yang mempunyai 1.8 juta rakyat setakat ini masih terselamat daripada sebarang serangan pengganas Islam tidak seperti negara jirannya yang lain. – AFP, 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen