PBB rangka resolusi halang perubahan status Baitulmaqdis


MAJLIS Keselamatan PBB sedang mempertimbangkan untuk meluluskan resolusi yang menyatakan perubahan status Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan dan perlu dibatalkan selepas Amerika Syarikat mengiktiraf bandar itu sebagai ibu kota Israel. – Gambar EPA, 17 Disember, 2017.

MAJLIS Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mempertimbangkan untuk meluluskan resolusi yang menyatakan perubahan status Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, sekiranya berlaku perlulah dibatalkan selepas Amerika Syarikat mengiktiraf bandar itu sebagai ibu kota Israel.

Mesir mengedarkan draf resolusi itu pada Sabtu dan para diplomat mengatakan majlis akan mengundi untuk menerima atau menolaknya seawal-awalnya pada Isnin.

Bulan ini, Presiden AS Donald Trump mengumumkan yang beliau akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke sana, tindakan yang bertentangan dengan konsensus antarabangsa dan mencetuskan protes dan kecaman dunia.

Draf resolusi yang diterima AFP menekankan yang Baitulmaqdis adalah isu “yang perlu diselesaikan secara rundingan” dan meluahkan “kekesalan mendalam terhadap tindakan terbaru berhubung status Baitulmaqdis” tanpa secara khusus menyebut tindakan Trump.

“Mana-mana keputusan dan tindakan yang boleh mengubah karakter, status atau komposisi demografik Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, adalah tidak sah dan terbatal dengan sendiri perlu ditarik kembali,” katanya.

Diplomat menjangka AS akan menggunakan kuasa veto mereka untuk menghalang resolusi itu, dan kebanyakkan ahli majlis, atau keseluruhan 14 ahlinya akan menyokong resolusi itu.

Naib Presiden AS Mike Pence akan melawat Baitulmaqdis pada Rabu, dalam cubaan menangani krisis yang timbul disebabkan tindakan AS itu dalam konflik Palestin-Israel.

Israel mengawal bahagian timur bandar itu sejak Perang 1967 dan merasakan Baitulmaqdis hak mereka. Rakyat Palestin pula melihat bandar itu sebagai bakal ibu kota negara mereka yang akan wujud kelak.

Draf resolusi itu menggesa semua negara supaya tidak memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis kerana wujud kebimbangan negara lain bakal mengikut jejak AS.

Ia meminta semua negara ahli tidak mengiktiraf apa sahaja tindakan yang bertentangan dengan resolusi PBB berkaitan status bandar itu.

Beberapa resolusi PBB sebelum ini menggesa Israel berundur daripada kawasan yang dirampasnya pada perang 1967 itu dan mengesahkan keperluan untuk mengakhiri penjajahan di kawasan itu.

Palestin pula mahukan resolusi yang lebih keras yang boleh mendorong AS menarik balik keputusan mereka.

Tetapi beberapa sekutu AS dalam majlis termasuklah Britain, Perancis, Mesir, Jepun dan Ukraine tidak mahukan tindakan keras sebaliknya mencadangkan tindakan susulan perlulah mengikuti pendirian badan dunia itu sebelum ini.

Disokong negara Islam lain, Palestin seperti dijangka menyerahkan resolusi itu kepada Persidangan Agung PBB untuk menolak keputusan AS, dan menepati ramalan, AS menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan untuk membatalkan resolusi itu.

Selain AS, negara Britain, China, Perancis dan Rusia juga boleh menggunakan kuasa veto mereka untuk menolak mana-mana resolusi dibentangkan di majlis, yang memerlukan sembilan undi untuk diluluskan. – AFP,17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen