Vietnam, Indonesia gesa isu Abyei diselesai dengan aman 


Pertempuran antara kaum berterusan di wilayah Abyei selain berdepan kesan kemanusiaan akibat Covid-19.– Gambar EPA, 23 Oktober, 2020.

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis mengadakan mesyuarat membincangkan mengenai situasi di Abyei, wilayah yang menjadi pertikaian antara Sudan dan Sudan Selatan, Vietnam serta Indonesia menyuarakan harapan isu itu dapat diselesaikan secara aman.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai operasi Pasukan Keselamatan Sementara PBB untuk Abyei (Unisfaa).  

Wakil Tetap Indonesia ke PBB dan bagi pihak Vietnam, Dian Triansyah Djani berkata kedua-dua negara menyambut baik perjanjian damai yang dimeterai baru-baru ini di Juba, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Beliau bimbang mengenai pertempuran antara kaum yang berterusan dan juga kesan kemanusiaan akibat Covid-19 serta meminta badan dunia itu mengeluarkan segera mandat menempatkan pegawai polis PBB di Abyei. 

Usaha juga perlu diperkuat untuk meningkatkan dialog damai, tambahnya yang menyambut baik penglibatan berterusan pertubuhan serantau. 

Indonesia dan Vietnam bersama-sama mengutuk semua serangan terhadap pasukan pengaman di Abyei.

Pada 6 September, Sudan dan Sudan Selatan mengatakan sedia untuk meneruskan rundingan mengenai isu Abyei. – Bernama, 23 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen