YB, usah perjudi nasib rakyat


AHMAD jatuh terduduk setelah dimaklumkan perkhidmatannya sebagai kerani di sebuah syarikat penerbitan buku di ibu kota ditamatkan serta-merta.

Ahmad tidak keseorangan. Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lalu, angka rakyat Malaysia yang kehilangan kerja meningkat dua kali ganda setiap bulan.

Ahmad dan 81,055 penduduk Malaysia yang kehilangan kerja sejak Januari lalu perlu berikhtiar mencari jalan meneruskan kehidupan yang sebenarnya amat sulit disebabkan pandemik Covid-19 tidak surut-surut.

Dalam situasi ini, Ahmad serta seluruh rakyat Malaysia tentu saja memerlukan sebuah kerajaan yang tersusun dan fokus mengerahkan seluruh tenaga dan sumber untuk membantu pulihkan kehidupan rakyat yang terjejas.

Namun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah memperjudi nasib rakyat dengan mengeluarkan arahan separuh masak dan berubah-ubah setiap hari melalui menteri kanan keselamatan yang juga Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad dan jutaan rakyat Malaysia merasa tersindir dengan ketawa sinis menteri apabila ramai rakyat yang menyuarakan rasa tidak puas hati akibat arahan dan SOP yang kabur dikeluarkan kerajaan.

Adakah kehilangan kerja, gerai, kedai atau syarikat terpaksa ditutup itu jenaka sahaja kepada Yang Berhormat (YB) menteri?

Kita sekarang berada dalam situasi yang amat getir. Ahmad kehilangan kerja dan sudah pasti amat berhati-hati dalam membelanjakan wang untuk dirinya sendiri.

Ahmad yang dulu akan ke pawagam setiap bulan untuk berhibur bersama teman-teman, kini sudah tidak lagi.

Pengusaha pawagam dilaporkan rugi RM2 juta dan banyak kerugian yang terpaksa ditanggung sejak Mac lalu. Apabila situasi membaik, pengusaha mula mengatur strategi dan bernafas kembali.

Tapi, setelah PKP bersyarat dilaksanakan, pengusaha pawagam kembali sesak pernafasan. Begitu juga dengan banyak industri lain yang terjejas akibat arahan kawalan pergerakan.

Namun, Ahmad, pengusaha pawagam dan jutaan rakyat Malaysia akur, inilah langkah pengawalan yang dapat memastikan angka kes baharu Covid-19 yang melonjak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kembali menurun.

Akan tetapi, kejelasan dalam menyatakan arahan itu juga penting. Nasib rakyat bergantung dengan arahan dikeluarkan kerajaan.

Ketawa sinis atas kekeliruan rakyat terhadap arahan kerajaan menunjukkan kelemahan Kerajaan itu sendiri.

Arahan dan SOP yang kabur tidak mustahil menyebabkan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga keliru.

Ia boleh mengakibatkan ketidakadilan kepada rakyat yang tidak mengerti kerana kekaburan arahan kerajaan. Ini jelas bukan lagi jenaka.

Ahmad, seperti kebanyakan rakyat biasa yang lain, tiada peguam hebat, baru hilang kerja dan gaji hanya cukup makan sahaja.

Jika didapati melanggar SOP (yang tidak jelas) pasti terus dikenakan hukuman kerana Ahmad tiada kerja, tiada pangkat seperti YB menteri. 

Letaklah diri anda pada tempat Ahmad sebelum menyatakan apa-apa arahan. Ini kerana, untuk meneruskan kehidupan dalam situasi getir ini, sudah cukup payah. Usah perjudi nasib rakyat. – 23 Oktober, 2020.

* Ghafar NS, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen