2020 tahun terburuk bagi peruncit


Hailey Chung Wee Kye

Kebanyakan peruncit mendapati sukar untuk berniaga dalam keadaan yang sukar dijangka semasa pandemik Covid-19, kata Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

TAHUN 2020 adalah tahun terburuk bagi industri peruncitan Malaysia sejak krisis kewangan 1987, menurut firma penyelidikan dan perunding runcit Retail Group Malaysia (RGM).

RGM berkata demikian berdasarkan data jualan runcit dari suku kedua 2020.

Peruncit bagaimanapun memberitahu The Malaysia Insight, pusat membeli-belah dan pasar raya di Lembah Klang, Sabah dan Labuan paling teruk terjejas tahun ini.

Kerugian teruk mula dialami ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac, disusuli perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sekarang ini, yang menyaksikan kerugian sehingga 70%.

Laporan Industri Runcitan Malaysia yang dikeluarkan RGM menyatakan pasaran runcit teruk terjejas sejak pertengahan Mac semasa PKP dikuatkuasakan, yang menyebabkan sebanyak 5% penyewa pusat beli-belah dan kira-kira 10% kedai di tingkat bawah bangunan kedai pejabat di seluruh negara terpaksa tutup.

Pengarah Urusan Kumpulan RGM Malaysia Tan Hai Hsin berkata penutupan akan meningkat ekoran PKPB kali kedua di beberapa negeri, lebih-lebih lagi selepas tempoh moratorium berakhir.

“Sejak PKPB, jumlah pengunjung ke pusat beli-belah merosot sehingga 70%.

“Kami menjangkakan sekitar 15% daripada jumlah bekalan runcit atau sekurang-kurangnya 51,000 kedai di Malaysia akan tutup akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Penutupan kedai ini termasuklah semua jenis perniagaan runcit, dari restoran mamak sehinggalah rangkaian kedai fesyen dan salon kecantikan.

“Seluruh negara terjejas, termasuk pusat bandar, kawasan perumahan, pusat perniagaan besar, kawasan berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah,” jelas Tan.

Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) Shirley Tay pula berkata kebanyakan peruncit mendapati sukar untuk berniaga dalam keadaan yang sukar dijangka semasa pandemik Covid-19.

“Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, banyak kedai akan tutup, yang seterusnya akan memberi kesan pengganda negatif kepada ekonomi negara,” kata Tay.

Jumlah pengunjung ke pusat beli-belah di Lembah Klang merosot sehingga 70% sejak PKPB kali kedua dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.

Menggunakan prestasi jualan kedai sebagai penunjuk, Tan berkata jumlah pengguna kini merosot kepada lebih 60%. Jumlah pengunjung ke pusat beli-belah menurun tidak kira pada hari bekerja atau hujung minggu.

Beberapa operator di pusat beli-belah terkemuka Sunway Malls berkata gelombang ketiga Covid-19 merencatkan pemulihan perniagaan.

“Sebelum gelombang ketiga, Sunway Malls menjangkakan jualan dan jumlah pengunjung akan kembali normal sehingga 90% pada hujung tahun.

“Secara umumnya, kita menyaksikan jumlah pengunjung menurun sebanyak 40-70% di pusat beli-belah kami sekitar Lembah Klang, di mana PKPB sedang berkuatkuasa.

“Bagi pusat beli-belah lain di Pulau Pinang dan Johor, jumlah pengunjung agak stabil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Park HC Chan.

Pembeli berhati-hati

Pandemik Covid-19 menyebabkan pembeli lebih berhati-hati apabila berbelanja mengikut kemampuan mereka.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat AEON Retail Malaysia Dr. Kasuma Satria berkata pengunjung kini datang untuk terus membeli, dan kurang meninjau kedai (window shopping), mereka lebih mengkhusus apabila membeli.

Hanya pusat beli-belah AEON di bahagian selatan Malaysia yang terjejas akibat Covid-19, terutamanya disebabkan penutupan sempadan Singapura, katanya.

Kedai serbaneka seperti ECO Shop, Mr DIY, Setia RM2.10 dan MR SAVE antara kedai yang popular dalam kalangan pembeli.

Tan dari RGM berkata kedai-kedai seperti di atas menarik semua golongan pendapatan dan kaum.

“Banyak pengendali makanan dan minuman juga sudah mula memperkenalkan menu dengan harga yang berpatutan untuk menarik pelanggan,” kata Tan. – 23 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen