PM dijangka pengerusi mesyuarat khas Kabinet esok


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan mesyuarat khas bersama Kabinetnya esok dam akan berlangsung pada jam 9.30 pagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan mesyuarat khas bersama Kabinetnya esok, menurut portal berita online The Star.

Memetik sumber, portal berita itu berkata mesyuarat akan berlangsung pada jam 9.30 pagi dan menteri yang hadir diminta menjalani pemeriksaan Covid-19.

“Ini akan menjadi mesyuarat bersemuka,” kata sumber kepada portal berkenaan.

Bagaimanapun mereka yang terlibat tidak tahu mengenai agenda mesyuarat tersebut.

Mesyuarat kabinet mingguan perdana menteri semalam diadakan secara dalam talian. 

Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatan senjata politik daripada semua pemimpin parti seminggu selepas biro politik mengancam menarik balik sokongan ke atas kerajaan Perikatan Nasional. 

“Saya ingin menekankan pendirian Umno untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah ahli Parlimen Bagan Datoh, Umno akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional memfokuskan agenda membantu rakyat.

“Mendokong kerajaan Perikatan Nasional dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara menghadapi pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi,” kata Ahmad Zahid.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut menggesa semua kepimpinan parti untuk bekerjasama dalam memastikan kestabilan negara.

“Semua pimpinan parti dalam Kabinet ketika ini memberi sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yag ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau turut mengarahkan semua menteri Umno untuk berhenti berpolitk dan memfokuskan kepada usaha membantu rakyat. – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen