9 penjara ditempatkan di bawah PKPD, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

Sembilan penjara di Selangor dan kawasan utara tanah air diletakkan di bawah PKPD mulai esok sehingga 4 November. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 22 Oktober, 2020.

PENJARA di Selangor dan di kawasan utara akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) mulai esok sehingga 4 November, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan itu berkata keputusan itu dibuat setelah menilai keadaan Covid-19 di institusi berkenaan.

“Sebelum ini kerajaan telah meletakkan Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena, Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai di bawah PKPD.

“Hari ini Kementerian Dalam Negeri telah memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan Nasional mengenai situasi di beberapa penjara di utara dan Selangor. Terdapat lima penjara di zon utara dan empat di Selangor.

“Lima daripadanya adalah Pusat Pemulihan di Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Pemulihan Kamunting dan Penjara Tapah sementara di Selangor, Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Pemulihan Puncak Alam.

“Selepas penilaian kami bersetuju mengenakan PKPD di semua sembilan institusi dari 23 Oktober hingga 4 November,” katanya semasa sidang media harian hari ini.

Beliau menambah bahawa perintah larangan itu juga akan merangkumi kawasan penjara untuk kakitangan. – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen