Selamatkan Malaysia


MALAYSIA yang sedang dilanda krisis pandemik wabak Covid-19, krisis kepimpinan dan ekonomi berada dalam situasi yang genting kerana kita diterajui oleh pemimpin yang tidak efektif dan tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen. 

Situasi ini bertambah parah kerana tidak ada gabungan parti politik yang boleh membentuk kerajaan dengan majoriti sokongan ahli parlimen yang padu, dominan dan kukuh.  

Satu-satunya gabungan yang telah mendapat mandat rakyat dan mempunyai sokongan majoriti yang kukuh tumbang dipertengahan penggal apabila Muhyidin Yassin membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan “telur di hujung tanduk, seekor kerbau jantan yang akan berlaga”, seperti kata tokoh wartawan, A Kadir Jasin.

Sejurus selepas perdana menteri dan ahli Kabinet kerajaan “telur di hujung tanduk” Muhyidin mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020, satu perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac 2020. 

PKP ini dilaksanakan untuk membendung gejala Covid-19 yang meningkat pada kadar 190 kes baru setiap hari dari merebak. Sama ada PKP pada masa itu merupakan satu kesilapan, atau tidak, ia boleh diperdebatkan. 

Tetapi hakikatnya perintah kawalan yang sama tidak dipraktikkan dengan peningkatan jumlah kes baru terkini yang lebih membimbangkan, mencapai rekod harian tertinggi 871 kes.

Sebagai contoh gimnasium, padang bola, sukan dan futsal dan makan di restoran juga dibenarkan beroperasi.

Muhyidin memaklumkan negara kerugian RM2.4 bilion sehari akibat PKP pada Mac lalu.

Sama ada Muhyiddin melakukan satu kesilapan besar tujuh bulan lepas dengan “membunuh” ekonomi negara demi menyelamatkan nyawa atau beliau membuat satu kesilapan besar yang sama sekarang dengan membenarkan jangkitan sehingga mencatat kematian yang meningkat demi menyelamatkan ekonomi. 

Tetapi hakikat yang Muhyidin tidak boleh menafikan adalah kudetanya (coup) – kudeta Sheraton dan Kudeta Sabah, yang bertanggungjawab merencat ekonomi, meningkatkan jumlah jangkitan dan menambah kematian.

Sementara PKP kerajaan “telur di hujung tanduk” ini mungkin boleh dimaafkan kerana tersilap strategi – bunuh lalat dengan meriam – mengakibatkan keadaan ekonomi yang sedang parah menjadi tenat. 

Pada Mac lepas, kerajaan yang kebulur kuasa ini tidak dapat dimaafkan apabila ia melancarkan kudeta kedua untuk merebut kuasa di Sabah yang menyebabkan gelombang ketiga pandemik wabak Covid-19 (rujuk pada carta).

Carta 1: Jumlah Jangkitan Semenjak Kudeta Sabah

Gelombang ketiga ini meragut 60 nyawa dan mengakibatkan 10,600 jangkitan baru wabak Covid-19.

Dalam jangka masa sebulan semenjak gelombang ke tiga meletus, jumlah jangkitan bertambah lebih dua kali ganda berbanding jumlah jangkitan sepanjang tempoh bermulanya wabak Covid-19.

Angka jangkitan wabak Covid-19 dan kadar kematian melonjak tinggi berterusan setiap hari akibat perbuatan tidak bertanggungjawab para menteri dan ahli politik yang berasa dirinya “kebal” dan tidak mahu mengikut prosedur kesihatan ditetapkan. 

Ia diburukan lagi dengan situasi perniagaan dan ekonomi yang tenat dan semakin lingkup. 

Tidak keterlaluan untuk kita rumuskan Kerajaan pintu belakang ini telah gagal dan tidak dapat mengawal keadaan terutamanya dalam mengawal penularan wabak Covid-19 yang sedang menggila bagaikan ribut.

Berbilion duit rakyat terpaksa disalurkan dalam bentuk geran seperti insentif Penjana dan Prihatin untuk membetulkan keadaan.

Geran dan insentif ini memang diperlukan tetapi ia boleh dibelanjakan dengan lebih efektif berbanding dengan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan PN.

Kadar pengangguran meningkat hampir 1 juta dan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar. Penganalisis ekonomi menjangkakan pengangguran akan melonjak kepada 2.5 juta pada tahun depan.

Kesan ini sebenarnya telah dijangka hasil dari pentadbiran negara yang dilantik dari kalangan ahli politik atas sebab mahu meraih sokongan dan bukan mengikut kredibiliti mereka dalam mengatasi krisis ekonomi dan pandemik wabak Covid-19.

Keperluan negara diketepikan untuk kekal berkuasa.

Lantikan ahli politik yang disogok dengan jawatan ini terbukti tidak dapat mengatasi masalah krisis ekonomi dan tidak dapat membendung wabak Covid-19.

Wakil rakyat menjadi satu komoditi yang boleh diperdagangkan untuk kerajaan kekal berkuasa. 

Fokus kerajaan tetap untuk kekal berkuasa dan bukan untuk menjaga rakyat dan negara seperti yang diwar-warkan.

Kalau pada zaman pemerintahan Najib Razak dahulu, wang itu raja (cash is king), kini trending terbaru, rasuah adalah kuasa (bribery is king).

Sepertimana krisis kewangan dan kegawatan ekonomi yang ngeri pada tahun 1997, Malaysia memerlukan seorang perdana menteri dan Kabinet yang boleh menerajui negara kita keluar dari belenggu krisis yang semakin membarah ini.

Sebelum keadaan ekonomi dan rakyat menjadi nazak dibawah pimpinan ahli politik yang disogok jawatan, biarlah Dewan Rakyat yang menentukan siapa pemimpin baru dikalangan ahli Parlimen yang betul-betul dapat menyelamat dan menerajui Malaysia keluar daripada krisis pandemik Covid-19 dan ekonomi. – 22 Oktober, 2020.

* Armin Baniaz Pahamin, seorang usahawan teknologi, e-dagang dan mantan pengerusi merangkap presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen