Hubungan dengan DAP punca GPS tidak sokong Anwar, kata Masing


Desmond Davidson

Presiden PRS James Masing berkata kerajaan Sarawak melihat DAP sebagai rakan kongsi yang tidak boleh dipercayai dalam pakatan politik. – Gambar AFP, 22 Oktober, 2020.

PRESIDEN Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menyokong Anwar Ibrahim untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kerana hubungannya dengan DAP.

“Beliau masih disokong oleh DAP, yang dilihat sebagai rakan kongsi tidak boleh dipercayai dalam pakatan politik untuk Sarawak,” katanya kepada ahli parti pada perhimpunan ulang tahun ke-16 di Kuching malam tadi.

Menjelaskan peristiwa yang menyebabkan pergolakan politik pada Februari lalu yang dicetuskan oleh persaingan untuk menjadi perdana menteri, timbalan ketua menteri itu menjadikan kenyataan Lim Guan Eng yang kerajaan GPS akan muflis dalam tiga tahun sebagai contoh kesombongan dan tidak hormat DAP terhadap gabungan itu.

Lim, yang ketika itu menteri kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), mendakwa Sarawak dengan belanjawan tahunan sebanyak RM10 bilion akan menghabiskan simpanan RM31 bilion negeri itu dalam masa tiga tahun.

“Kerana sikap Lim dan tidak hormat kepada kemampuan pemimpin GPS mengurus kewangan, kami memutuskan memberi sokongan kepada mana-mana pihak di Malaysia untuk membentuk kerajaan, kecuali DAP.

“GPS tidak dapat menerima keangkuhan politik DAP dan sikap acuh tak acuhnya terhadap rakyat Sarawak,” kata Masing menjelaskan mengapa GPS enggan bersetuju presiden PKR menjadi perdana menteri.

“Perbalahan berhubung pengganti Dr Mahathir, antara Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin, sedang berlaku.

“Sokongan GPS diperlukan oleh kedua-dua pesaing. Kami memilih untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri Malaysia kelapan.”

Masing berkata pilihan GPS berdasarkan dua “prinsip yang sangat penting”.

Yang pertama, katanya GPS mahu kerajaan dibentuk secepat mungkin.

“Menurut pendapat GPS, Muhyiddin memiliki kemampuan untuk menguasai majoriti anggota Parlimen di Dewan Rakyat, berada dalam posisi yang lebih baik untuk membentuk kerajaan.

“Kita bernasib baik kerana bertindak demikian kerana sebaik sahaja Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, Covid-19 menyerang.

 “Prinsip kedua adalah, sejak dulu hingga kini, Anwar Ibrahim disokong oleh DAP.” – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen