Muafakat sudah terima Bersatu secara rasmi, kata sumber


Kamles Kumar Zaim Ibrahim

Tindakan MN yang masih belum mengumumkan status Bersatu menghairankan pemimpin parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

BERSATU sudahpun diterima secara rasmi ke dalam Muafakat Nasional (MN) namun penyertaan itu belum lagi diumumkan, kata sumber.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, keputusan untuk menerima penyertaan Bersatu dalam gabungan itu dibuat dalam mesyuarat Isnin malam antara dua parti pengasasnya – Umno dan PAS.

Kebimbangan mengenai status Bersatu dalam MN dibangkitkan memandangkan mesyuarat itu hanya melibatkan Umno dan PAS.

MN seterusnya mengeluarkan kenyataan mengenai pengukuhan kerjasama kedua-dua parti dalam gabungan itu tanpa menyebut mengenai penyertaan Bersatu.

Namun menurut sumber Bersatu, penyertaan parti itu sudahpun diterima.

“Bersatu diundang (menyertai MN), kita tidak pernah mohon. Kita menjawab undangan dan bersetuju untuk sertai.

“Mesyuarat di antara Umno dan PAS pada Isnin bersetuju untuk menerima Bersatu secara rasmi tetapi mereka tidak mengumumkannya,” kata sumber itu.

Beliau menambah, undangan MN kepada presiden parti Muhyiddin Yassin diterima sejak Ogos.

Tindakan MN yang masih belum mengumumkan status itu menghairankan pemimpin Bersatu seperti seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti, Dr Faiz Naaman.

“Bersatu turut dijemput menyertai MN. Bersatu sudah pun respons menerimanya. Jadi kami hendak tahu apa status jemputan itu,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga mempersoalkan tindakan MN yang mengumumkan pendaftaran gabungan tersebut hanya melibatkan Umno dan PAS.

“Tapi kenapa dalam soal pendaftaran MN hanya melibatkan tandatangan daripada wakil PAS dan Umno saja? Sedangkan Bersatu telah pun memberi jawapan bersetuju menyertai MN,” tambahnya.

Mesyuarat pada Isnin malam itu sepatutnya menjadi medan untuk para pemimpin ketiga-tiga parti membahaskan kedudukan dan hala tuju parti serta kerajaan namun ia tidak berlaku.

Pertemuan itu menjadi tumpuan utama terutama apabila Umno menyatakan kekecewaan ke atas layanan Bersatu terhadap parti itu dalam kerajaan.

Sebaliknya, hanya Umno dan PAS bertemu bagi membincangkan keperluan mendaftarkan gabungan itu secara rasmi.

Susulan pertemuan itu, dua setiausaha agung MN Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan mengumumkan gabungan itu akan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan.

Ia tidak menyertakan nama Bersatu dalam gabungan tersebut.

Susulan itu, timbul spekulaasi bahawa Bersatu diketepikan daripada gabungan tersebut sebagai satu tindak balas Umno.

Bagaimanapun, Annuar kemudian dalam kenyataan di media sosial menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi ke atas kedudukan Bersatu dalam MN.

Tambahnya, tuntutan Umno hanya untuk memperkuatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Takiyuddin juga mengesahkan perkara itu dan menyiarkan surat undangan kepada Bersatu untuk menyertai MN dan membayangkan perkara itu sudahpun dipersetujui.

“Apabila ada tawaran, penerimaan dan balasan maka wujud satu ikatan kontak antara Umno, PAS dan Bersatu dalam MN,” katanya.

Di peringkat akar umbi, pemimpin Bersatu memberi amaran sekiranya parti itu tersisih dari MN, ia akan memberi kesan kepada Umno.

Salah seorang daripadanya, Ketua Bersatu Padang Terap Muzzammil Ismail yang menggesa Umno mengambil teladan daripada kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

“Umno akan berpecah kerana ada dari mereka lebih cenderung menyertai gabungan PN, dan bukannya MN.

“Umno, PAS and Bersatu perlu ambil teladan daripada PH. Gabungan itu runtuh disebabkan perpecahan,” katanya.

Sumber Bersatu menyebut, isu yang timbul pada masa ini ialah rundingan agihan kerusi antara tiga parti Melayu tersebut.

Antara masalah itu melibatkan bekas ahli Parlimen Bersatu dari kalangan bekas ahli politik Umno yang bertanding di kerusi tradisi Umno.

Sumber parti mendakwa, Umno menuntut untuk bertanding di kerusi itu semula, termasuk di kerusi Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin di Larut.

Kerusi lain termasuk Jeli yang disandang Mustapha Mohamad, Mersing diwakili Abdul Latiff Ahmad dan Batu Pahat yang dimenangi Mohd Rashid Hasnon.

“Golongan dalam Umno yang menentang Bersatu mempunyai kepentingan peribadi mereka sendiri. Mungkin mereka mahu bertanding di kerusi tertentu yang mungkin tidak akan dapat.

“Sebagai contoh, Batu Pahat. Puad Zarkarshi tidak akan dapat kerusi itu disebabkan Rashid,” kata sumber merujuk kepada ahli Parlimen Batu Pahat itu.

Puad kini giat menyerang Bersatu dalam media sosial dan melalui kenyataan di media, antaranya dengan dakwaan parti itu memberi layanan buruk kepada Umno.

Beberapa pemimpin Umno yang giat mengkritik Bersatu termasuk Anggota Majlis Tertinggi Tajuddin Abdul Rahman dan bekas menteri Nazri Abdul Aziz. – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen