Bencana alam di Vietnam ragut 111 nyawa, 22 hilang 


BANJIR, tanah runtuh dan bencana alam lain yang melanda Vietnam sudah meragut 111 nyawa manakala 22 lagi masih hilang setakat Selasa, lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah korban terutamanya dilaporkan di wilayah Quang Tri, Thua Thien-Hue dan Quang Nam, menurut Jawatankuasa Pemandu Kawalan dan Pencegahan Bencana Alam pada Rabu.

Seramai 60 mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh dan banjir. Misi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sehingga 5 petang waktu tempatan Selasa, hampir 59,300 isi rumah dengan sekitar 206,800 orang di kawasan Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Tri telah dipindahkan.

Walaupun hujan semakin berkurangan pada Rabu, risiko banjir kilat, tanah runtuh dan banjir diramal terus mengancam beberapa kawasan di Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Nam, menurut pihak berkuasa cuaca negara.

Wakil Perdana Menteri, Trinh Dinh Dung mengingatkan penduduk di lokasi terjejas untuk bersiap berdepan kemungkinan ribut Saudel yang diramal melanda dalam beberapa hari lagi. – Bernama, 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen