PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang menjejaskan pelancongan domestik di seluruh negara tetapi paling teruk ialah Sabah, di mana perintah kawalan pergerakan turut dikuatkuasakan di situ, kata Persatuan Industri Pelancongan Malaysia (MATTA) cawangan Sabah.
Pengurus pejabat MATTA cawangan Sabah Kennedy Fung berkata sekatan pergerakan dan lonjakan kes Covid-19 menyebabkan semua rancangan perjalanan ke negeri itu ditangguhkan, atau pun dibatalkan terus.
Beliau berkata sebahagian rancangan percutian untuk September dan Oktober ditangguhkan ke November dan Disember, tetapi sama ada ia akan terlaksana akan bergantung kepada keadaan pandemik di negeri itu.
Lebih teruk, ramai pelancong kini meminta wang dikembalikan sepenuhnya, dan keadaan ini menjejaskan aliran tunai dalam kalangan pengendali pelancongan.
“Agensi pelancongan menggunakan deposit yang diterima untuk menampung perbelanjaan operasi dan membuat tempahan penginapan.
“Saya harap pelancong dapat bertimbang rasa dengan memilih menangguhkan perjalanan, bukan membatalkan dan meminta wang dipulangkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Sabah mendapat tempahan penuh pada Ogos dan ketika cuti Merdeka. Industri pelancongan di sini sedang pulih dan sebahagian pemain industri mengambil pekerja baharu dan sibuk mereka jadual perjalanan yang baharu.
“Hotel dan rumah tumpangan sudah siap sedia menyambut pelancong. Pada masa itu pelancongan mula pulih kira-kira 20% atau 30%.
“Ramai menjangkakan berlaku lambakan pelancong pada cuti akhir tahun,” kata Fung.

PKPB dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 Oktober hingga 27 Oktober, tetapi ramai yang bimbang ia akan dilanjutkan atau langkah lebih ketat bakal dilaksanakan, selepas jurucakap Majlis Keselamatan Negara Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah lebih ketat akan diambil dan kesan terhadap ekonomi sedang dinilai.
Malaysia, yang kini mencatatkan lebih 21,000 kes, merekodkan 10,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh dua minggu sejak awal Oktober, berbanding tujuh bulan pertama pandemik ini berlaku dan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Sabah paling teruk terjejas pada masa ini, dengan mewakili hampir satu pertiga daripada semua kes di negara ini, dan satu pertiga kematian.
Selain Sabah dan Lembah Klang, PKPB turut dikuatkuasakan di Labuan.
Secara keseluruhan, ia mengganggu rancangan “cuti-cuti Malaysia” bagi kebanyakan penduduk Lembah Klang selepas berbulan-bulan terkurung dalam PKP sebelum itu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Setiausaha Agung MATTA Nigel Wong berkata operator pelancongan pada mulanya lega apabila pelancongan tempatan dapat bersambung semula di bawah PKP pemulihan yang dikuatkuasakan pada Jun.
Tetapi dengan PKPB terkini, berlaku kemerosotan 50% jumlah pelancong ke pulau-pulau tempatan, taman negara dan pelancongan makanan, katanya.
“Orang ramai cemas bila peraturannya ialah tidak boleh rentas daerah atau negeri.” – 23 Oktober, 2020.
Komen