Bersatu perlu tunduk kepada Umno agar Perikatan terus bertahan, kata penganalisis


Kamles Kumar

Bersatu diterajui Muhyiddin Yassin kini hanya ada dua pilihan, sama ada tunduk kepada tuntutan Umno atau pecah belahkan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2020.

PERIKATAN Nasional (PN) hanya mampu bertahan hanya jika Bersatu tunduk kepada tuntutan Umno, kata penganalisis.

Pakar sains politik percaya tindakan Umno yang mahu mengesahkan kerjasama politik Muafakat Nasional (MN) adalah bertujuan “mengunci” kerjasama dengan PAS sekiranya hubungan dengan PN terus buruk.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berpandangan yang Umno mahu membentuk kerjasama rasmi dengan PAS bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

“Ini adalah langkah untuk memastikan PAS bersama dengan Umno dalam MN. Mereka yakin jika kedua-dua parti bergabung, Umno akan menang pilihan raya akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan semalam mengumumkan yang MN akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi.

Kenyataan, bagaimanapun, tidak menyebut sama ada Bersatu terlibat dalam kerjasama rasmi itu walaupun ia sudah dijemput menyertai MN.

Felo Kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun berkata Bersatu dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin wajar melawan usaha Umno dengan tawaran menarik.

“Nampaknya Umno sedang mendesak Bersatu. Umno sedang mempertimbangkan antara Anwar dan Muhyiddin, PAS pula berkira-kira antara Umno dan Muhyiddin,” katanya.

Beliau merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan dan menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu lepas.

Tambah Oh lagi, Muhyiddin hanya ada dua pilihan; sama ada memenuhi tuntutan Umno yang mahukan portfolio lebih berkuasa dalam Kabinet atau cuba memecah belahkan parti itu.

“Muhyiddin boleh buat salah satu. Beri tawaran lebih baik kepada PAS dan Umno dalam bentuk jawatan dan kedudukan Kabinet.

“Atau pecah dan perintah. Dalam Umno sendiri, ada banyak puak. Mainkannya,” kata Oh.

Sumber parti juga mendakwa Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu dalam soal rundingan kerusi.

“Kami tak mahu beri kerusi yang mereka menang dengan tiket Umno kepada Bersatu,” kata sumber.

Antara kerusi jadi rebutan dipegang Mustapa Mohamad (Jeli) dan Hamzah Zainuddin (Larut).

Kedua-dua kerusi ditandingi dengan tiket Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14, tetapi selepas Putrajaya berubah tangan kuasa, wakil rakyat kawasan itu lompat masuk Bersatu.

Awang bersetuju dan berkata Umno mungkin bakal bertanding di kerusi Muhyiddin di Pagoh, Johor, jika kerjasama kedua-dua parti Melayu itu tidak kesampaian.

“Walaupun PM daripada Bersatu, jika Parlimen bubar, peluang Bersatu menang adalah tipis.

“Umno pastinya mahu kembali kerusi itu daripada Bersatu. Mereka tak mahu bekerjasama, ia akan menjejaskan sokongan (pengundi) kepada mereka.

“Jika situasi jadi begitu, Umno mungkin akan bertanding di Pagoh,” katanya. – 20 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen