5 suspek samun warga Bangladesh diburu 


POLIS sedang memburu lima suspek yang menyamun seorang lelaki warga Bangladesh, di rumah sewanya di Jalan Delima di Johor Bahru, awal pagi Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzil Mohd Zain berkata mangsa berusia 27 tahun dan bekerja sebagai tukang ubah suai rumah itu disamun dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi.

Katanya, mangsa terdengar bunyi bising ketika sedang tidur sebelum tersedar dan mendapati empat suspek sudah berada di ruang tamu manakala seorang lagi suspek berada di luar rumah.

“Ekoran itu, berlaku pergelutan sehingga mengakibatkan mangsa cedera di tapak tangan kiri akibat dilibas dengan parang. Mangsa kehilangan dokumen peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Mohd Padzil berkata mangsa percaya bahawa suspek merupakan warga tempatan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182222. – Bernama, 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen