Jangan bercakap bagi pihak DAP, kata Guan Eng kepada orang luar parti


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pendirian parti itu sudah jelas bahawa pihaknya tidak akan bekerjasama dengan Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

TIADA orang luar parti boleh bercakap bagi pihak DAP, kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng berhubung dakwaan pemimpin Amanah Khalid Samad sebelum ini bahawa DAP sedia bekerjasama dengan Umno dalam kerajaan baharu di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.

Lim berkata hanya kenyataan setiausaha agung yang mewakili parti melainkan ia adalah pandangan peribadi.

Orang lain yang boleh bercakap untuk parti adalah pengerusi nasional dan timbalan pengerusi, katanya.

“Berikutan penjelasan oleh pemimpin Amanah iaitu Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bahawa beliau tidak pernah bercakap bagi pihak DAP berkenaan dakwaan kerjasama DAP dengan Umno, saya mahu menegaskan orang luar parti tidak berhak berbuat demikian.

“Perkara ini telah ditangani dan pendirian parti telah dinyatakan dengan jelas,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khaid Samad dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata DAP tiada masalah untuk bekerjasama dengan Umno di bawah kerajaan yang diterahui pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti kukuh ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Khalid turut mendakwa terdapat 30 ahli Parlimen dari Umno yang sanggup menyokong Anwar, namun kemudiannya menjelaskan ia hanyalah anggaran.

DAP beberapa kali sebelum ini menegaskan ia tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Lim berkata sekarang ketika negara sedang berdepan oandemik Covid-19 dan ekonomi yang lemah, adalah lebih baik untuk tidak adakan rombakan kabinet berikutan spekulasi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan berbuat demikian untuk mengelakkan kerajaannya tumbang.

Lim turut menggesa Muhyiddin agar “berhenti fokuskan kepada perjuangan politk dengan menawarkan jawatan GLC kepada ahli Parlimen” sebaliknya berusaha untuk memperbaiki kegagalan dalam krisis Covid-19.  – 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen