Kenapa IMAMS diuruskan bukan Islam, tanya PKR


Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat IMAMS terdiri daripada seorang Melayu selaku pengarah dan tiga orang Cina selaku setiausaha. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2017.

KEMENTERIAN  Pelancongan dan Kebudayaan diminta menjelaskan kenapa urusan permohonan visa jemaah umrah di bawah sistem bersepadu yang mula dikuatkuasakan semalam diserahkan kepada sebuah syarikat yang dikendalikan orang bukan Islam, tanya PKR.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd (IMAMS) terdiri daripada seorang Melayu selaku pengarah dan tiga orang Cina selaku setiausaha.

“Terdapat persoalan yang perlu dijawab, adakah Pegawai Operasi IMAMS bernama Ryan Loh?,” tanya Saifuddin, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Ryan Loh adalah penama yang menandatangani surat pemberitahuan kepada syarikat pelancongan yang memiliki lesen khas umrah (LKU) mengenai kadar pembayaran permohonan visa bagi jemaah umrah di bawah sistem baru itu.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Razali Mohd Sham mengesahkan kepada The Malaysian Insight pihaknya menerima surat yang tersebut yang ditandatangani oleh seorang yang bernama Ryan Loh, yang disebut sebagai Ketua Pengarah Operasi (COO) IMAMS.

“Adakah mereka yang bukan beragama Islam boleh menguruskan amal ibadat umat Islam di negara ini?,” tambah Saifuddin.

“Saya berharap tiada Jho Low II dalam IMAMS yang kerajaan Umno BN cipta.”

Saifuddin berharap Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS), yang mulai semalam jadi satu-satunya laluan untuk memohon visa daripada Kedutaan Arab Saudi, bukan helah untuk menguntungkan pihak tertentu.

Laporan media sebelum ini menyebut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Zainal Abidin Sakom sebagai pengerusi eksekutif IMAMS.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam satu kenyataan semalam meminta syarikat pengendali IMAMS supaya dengan serta merta memastikan semua kakitangannya terdiri daripada individu beragama Islam, bagi “melindungi kepentingan dan sensitiviti agama Islam”.

Berkuat kuasa semalam, semua permohonan visa umrah dikendalikan di bawah sistem pemantauan bersepadu bagi mengelak sebarang penipuan pakej umrah.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin di Twitter semalam mendedahkan ada 3,762 kes penipuan jemaah umrah dengan nilai tuntutan berjumlah lebih RM23 juta difailkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia antara tahun 2012 hingga Oktober 2017.

Semua permohonan itu dikenakan bayaran RM90.10 meliputi RM45 bagi caj permohonan, RM40 insurans takaful umrah dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.10.

Saifuddin dalam kenyataannya turut mempersoalkan kenapa tanggungjawab memantau penipuan pakej umrah perlu diswastakan dan dibebankan dengan GST yang ditanggung oleh jemaah umrah.

Katanya, pemantauan itu sepatutnya boleh dilakukan sendiri oleh kementerian dan sekiranya ada kes penipuan, syarikat atau agensi terlibat sepatutnya dikenakan tindakan berat.

Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sebelum ini dilaporkan mewajibkan tiga syarat kepada pengusaha umrah iaitu harga minimum bagi pakej ekonomi 12 hari 10 malam ditetapkan pada RM4,900; MKSU sebagai pusat sehenti aduan berkaitan umrah dan penguatkuasaan serta penambaikan lesen khas umrah.

MKSU yang ditubuhkan pada 2014 diketuai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan dianggotai 13 anggota termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Tabung Haji dan dua persatuan pengusaha pelancongan.

“Malah bukankah MOTAC sendiri telah menyenaraikan syarikat-syarikat pengendali umrah yang mempunyai lesen khas tersebut di portal?” soalnya.

Saifuddin merujuk kepada pelaksanaan lesen khas umrah untuk semua agensi pelancongan yang menjual dan mengendalikan pakej umrah berkuat kuasa Oktober lepas. 

Mas Ermieyati sebelum ini dilaporkan berkata melalui pelaksanaan lesen khas umrah, semua jemaah umrah mendapat takaful percuma.

Mulai semalam bagaimanapun semua syarikat yang memiliki lesen khas itu kini perlu menggunakan IMAMS untuk mendapatkan visa bagi jemaah umrah.

“Apa yang cuba dilakukan kerajaan sekarang ini bukanlah satu penyelesaian malah menambah beban kepada rakyat,” kata Saifuddin.

Saifuddin bertanya apakah ada jaminan daripada kerajaan sistem baru itu tidak akan menyebabkan berlaku penipuan.

“Adakah projek-projek segera ini hanya ingin memenuhkan kantung kroni sahaja?” tanyanya.

Berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, seramai 250,000 jemaah Malaysia menunaikan umrah pada musim 1437/1438 Hijrah (2016), dan dijangka meningkat kepada seramai 270,000 hingga 300,000 jemaah pada musim 1438/1439 Hijrah (2017). – 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dari segi pengurusan aku rasa tak ada masalah pun. lagipun yang mengetuai tu orang Islam juga. tapi kalau nak lagi baik, orang Islam sendiri la yang uruskan urusan ibadah orang Islam. dia lebih arif. tak gitu? papepun bagus la IMAMS ni dibubarkan.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan