KKM hanya kongsi data Covid-19 selepas dianalisis, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Hanya selepas dianalisis dan diselaraskan, barulah data boleh dikongsikan dengan jabatan kesihatan negeri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

HANYA data kes Covid-19 yang sudah dianalisis dan diselaras boleh dikongsikan dengan jabatan kesihatan negeri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau mengulas kenyataan Pasukan Petugas Selangor untuk Covid-19 (STFC) yang mendakwa tidak menerima data penting mengenai kes positif Covid-19 dari Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selangor mahu data belum diproses dari kami, tetapi data ini sulit.

“Hanya selepas dianalisis dan diselaraskan, barulah boleh dikongsikan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM kebiasaannya akan mengumpulkan data negeri, dan menghantar semula data yang sudah dianalisis kepada pengarah kesihatan negeri.

“Jadi, maklumat ini, yang sudah dianalisis akan diberi kepada mereka. Masalahnya sekarang, data yang belum dianalisis.” 

Menurutnya lagi, kesimpulan tidak dapat dibuat berdasarkan data yang belum diproses.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak buat kesimpulan jika data belum dianalisis.

“Adakah betul untuk saya buat kesimpulan jika belum lagi melihat data?

“Sebab itulah perlunya kita menyeragamkan data. Persekutuan akan menganalisis dan kemudian dihantar ke negeri,” jelas Dr Noor Hisham.

Tambah beliau, ini boleh mengelakkan pengumuman berdasarkan data yang belum dianalisis. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen