Kes harian Covid-19 boleh cecah 4 digit, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata bacaan R-naught ketika ini 1.5, dan mesti diturunkan kepada kurang daripada 1.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini memberi amaran angka harian kes baharu Covid-19 di Malaysia boleh melonjak kepada empat digit akhir bulan ini jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) tidak turun.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata bacaan R0 ketika ini 1.5, dan mesti diturunkan kepada kurang daripada 1.

“Kita bermula (gelombang ketiga) dengan 2.2 dan sekarang turun kepada 1.5. Tetapi jika berterusan sehingga 31 Oktober, maka kita akan mendapat empat digit,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

“Kita berharap dapat turunkan (kadar kebolehjangkitan) kurang daripada 1.”

Malaysia hari ini sekali lagi mencatatkan lebih 800 kes baharu jangkitan Covid-19 untuk tiga hari berturut-turut. Sebanyak 865 kes dilaporkan hari ini. 

Kes baharu yang dilaporkan semalam 871, manakala 869 kes pada Sabtu.

R0 adalah ukuran yang digunakan untuk meramal bilangan individu yang boleh berjangkit daripada satu individu yang dijangkiti Covid-19.

“Kita mahu terus kurangkan kadar kebolehjangkitan daripada 1.5 kurang daripada 1.”

Semalam beliau berkata nilai R0 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September lalu adalah 2.2, tetapi berjaya diturunkan kepada kepada 1.5 dalam masa 4 minggu. Dr Noor Hisham bagaimanapun memberi amaran angka kes harian dijangka meningkat tetapi tidak secara mendadak. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen