Penjara Kepayan dikenakan PKPD


Alfian Z.M. Tahir

3,511 individu terdiri daripada 2,914 banduan dan 597 kakitangan penjara dikenakan PKPD bermula 20 Oktober sehingga 2 November.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

PENJARA Kepayan di Sabah dan kuarters kakitangan penjara di Kampung Matambai akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, sekatan pergerakan itu melibatkan 3,511 individu terdiri daripada 2,914 banduan dan 597 kakitangan penjara.

“Kita setuju laksana PKPD di Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan penjara di Kampung Matambai, Kota Kinabalu mulai 20 Oktober hingga 2 November.

“Kakitangan terlibat tidak dibenar meninggalkan kediaman mereka dan kerajaan negeri Sabah akan menyediakan makanan dan keperluan lain,” kata Ismail Sabri pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa boleh menjalankan sidang video untuk kes reman bagi mengelakkan kesesakan di kompleks mahkamah.

“Untuk kes reman, Ketua Hakim baru-baru ini berkata ia boleh dibuat dengan sidang video. Ini bagi mengelakkan orang ramai datang ke mahkamah dan menyebarkan lagi virus,” tambahnya.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan tempoh PKPD di Penjara Alor Setar di Kedah dilanjutkan 14 hari lagi.

Keputusan itu dibuat selepas berbincang mengenai situasi di penjara terbabit dengan kerajaan negeri Kedah dan Majlis Keselamatan Negara.

PKPD itu dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 1 November.

Kluster penjara Alor Setar dikesan pada 30 September susulan kematian seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja di penjara itu.

Ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas lelaki tersebt mendapatinya positif. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen