TIGA lelaki ditahan selepas disyaki terlibat kes samun seorang pekerja syarikat mata wang kripto dalam tiga serbuan berasingan sekitar ibu negara pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata susulan penahanan tiga suspek berusia 31 hingga 42 tahun itu, pihaknya menemui wang tunai RM 1.03 juta, beberapa ketulan emas, barangan kemas dan sebuah kereta dipercayai dibeli daripada hasil samun.
Menurutnya dalam kejadian pada 8 Oktober lepas itu, pekerja syarikat yang membawa wang tunai RM1.6 juta untuk urusan perniagaan itu, berada di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Kepong, di Kuala Lumpur, dihampiri dua lelaki dan menumbuk mangsa sebelum melarikan wang tunai berkenaan dengan menaiki sebuah kereta.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek mengekori dan memantau pergerakan mangsa dalam tempoh tiga hingga enam hari sebelum menyamun.
“Ketiga-tiga suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di Kuala Lumpur hari ini.
Saiful Azly turut menasihatkan pemilik premis yang berurusan dengan wang tunai untuk tidak mengarahkan pekerja menggunakan laluan sama setiap hari bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah.
Dalam perkembangan lain, polis menahan dua beranak bagi membantu siasatan kes seorang wanita maut selepas menerima rawatan di sebuah pusat kecantikan berdaftar di Cheras.
Saiful Azly berkata dua wanita yang masing-masing ibu dan anak berusia 23 dan 49 tahun itu juga pemilik premis berkenaan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
“Siasatan mendapati mangsa ke pusat kecantikan berkenaan untuk menjalani proses penyedutan lemak namun pusat tersebut tidak mempunyai kemahiran berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun kata Saiful Azly mangsa didakwa mahu meneruskan proses tersebut walaupun mengetahui kedua-dua suspek tidak mempunyai kemahiran penyedutan lemak.
Beliau berkata mangsa mengalami sesak nafas dan pengsan selepas menjalani proses berkenaan manakala pemilik premis menghubungi ambulans sebelum dilaporkan meninggal dunia. – Bernama, 19 Oktober, 2020.
Komen