Bekalan air akan pulih dalam tempoh 24 jam, kata menteri 


Hailey Chung Wee Kye

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man memeriksa sampe air yang diambil dari Sungai Selangor ketika melawat loji rawatan air di Batang Kali hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2020.

GANGGUAN bekalan air di Lembah Klang dianggarkan kembali pulih dalam tempoh kurang daripada 24 jam, kata Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini. 

Menteri alam sekitar dan air berkata punca pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan itu masih disiasat.

Beliau memberitahu pemberita pencemaran di Loji Rawatan Air Fasa 1 itu mungkin berpunca daripada kilang yang beroperasi di sepanjang Sungai Selangor.

“Terdapat bau pelarut dikesan di Sungai Selangor. Sampel air akan dihantar ke makmal untuk mengenal pasti puncanya,” katanya kepada pemberita ketika melawat loji rawatan air di Sungai Selangor hari ini.

Beliau turut memberi jaminan kepada pengguna bahawa usaha sedang dipergiatkan untuk merawat bekalan air.

“InsyaAllah, bekalan air akan kembali pulih dalam tempoh 24 jam, loji rawatan air hentikan operasi dalam satu hingga dua jam, jadi ia dijangka kembali beroperasi tidak lama lagi,” katanya.

Gangguan bekalan air menjejaskan lebih 1 juta pengguna dan perniagaan di Lembah Klang, ia merupakan insiden kedua dalam tempoh kurang dua minggu – selepas pencemaran dikesan di Sungai Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata operasi di loji rawatan Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan untuk membersihkan pencemaran.

Pemberhentian operasi itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.196 juta pemilik akaun meliputi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang , Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Air Selangor akan menyediakan lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis penting seperti hospita dan pusat dialisis,” katanya dalam satu kenyataan. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen