Lelaki ditahan miliki senjata berbahaya


SEORANG lelaki yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah ditahan bersama beberapa senjata tajam dan peralatan pecah rumah dalam operasi di sekitar Jalan Klang Lama, di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, lelaki berumur 32 tahun itu ditahan sepasukan polis pada kira-kira 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar kawasan Brickfields.

“Semasa pemeriksaan, suspek cuba melarikan diri dengan motosikal namun ditahan selepas terbabas di persimpangan jalan.

“Antara yang dirampas ialah sebilah pisau, sebilah parang bersarung, lampu suluh, lima pemutar skru, dua batang besi yang diubah suai, satu kuku kambing, satu set kunci ‘Allen’ dan serangkai anak kunci bersama alat kawalan jauh,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman empat hari sehingga esok dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya. – Bernama, 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen