Bayaran RM90 IMAMS ibarat 'tol Umrah,' kata persatuan


Nabihah Hamid

Sistem tersebut merupakan satu-satunya akses rasmi kepada permohonan visa umrah yang akan diproses oleh Konsul Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. – Gambar AFP, 16 Disember, 2017.

BAYARAN tambahan RM90.10 kepada Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) yang dikuatkuasakan kerajaan 15 Disember tidak berpatutan dan seharusnya dikurangkan, gesa Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh). 

Pengerusinya, Razali Mohd Sham mempersoalkan kadar caj tinggi itu memandangkan sistem yang boleh digunapakai seumpamanya boleh didapatkan secara percuma selain caruman insurans yang lebih murah. 

“Bila IMAMS wujud, ia ibarat buka satu kaunter di kedutaan, kena bayar, kemudian cop. Ia ibarat tol Umrah. Kita tidak persoalkan GST kerana duit itu dimiliki kerajaan dan pulangan sampai kepada rakyat. 

“Kita persoal kenapa sistem itu kenakan bayaran sehingga RM45 dan insurans sampai RM40? Insurans boleh didapati RM12 hingga RM16. Kita tidak persoal GST kerana ia akan sampai semula kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Jumaat lalu yang mengumumkan pelaksanaan IMAMS ke atas semua 65 agensi pelancongan berstatus muasassah dalam negara. 

Timbalan menterinya Mas Ermieyati Samsudin berkata, IMAMS digunakan untuk memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah dan ziarah daripada menipu para jemaah, lapor Kosmo!.

Sistem tersebut merupakan satu-satunya akses rasmi kepada permohonan visa umrah yang akan diproses oleh Konsul Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.

Menurut Mas Ermieyati melalui twitternya, RM90.10 itu termasuk (RM5.10) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), RM40 insurans dan RM45 bagi sistem yang digunakan IMAMS. 

Bagaimanapun, Razali berkata setiap muassasah telah mengguna sistem Pasport ID scanner ataupun Scanner 3M untuk memasukkan data dan permohonan visa secara terus dengan kedutaan Arab Saudi. 

“Kita sudah ada sistem percuma dan kenapa perlu bayar sehingga RM45? Untuk insurans kita sanggup bayar RM16 tetapi tidak pada sistem IMAMS,” katanya lagi.

Razali turut kesal dengan sikap pilih kasih kementerian kerana hanya mewajibkan pada agensi umrah dan tidak pada agensi pelancongan lain. 

“Yang saya kesal kalau betul hendak kuatkuasa kenapa hanya pada agensi umrah saja? Penipuan bukan saja berlaku pada Umrah. Melancong ke tempat lain pun ada penipuan.

“Kementerian seharusnya perkasakan satu persatu. Dan bukan terus kuatkuasa. Sebab itu kita bantah. Kenapa tidak mulakan dengan Lesen Khas Umrah (LKU)? Itu kita sokong,” katanya. 

Dalam pada itu, Pada itu Papuh turut mempersoalkan integriti syarikat yang mengendalikan IMAMS kerana masih baru dan diketuai individu bukan Islam. 

“Nak cari syarikat pun, carilah yang sudah akil baligh. Ini baru ditubuhkan enam hari, dia dah mengawal selia IMAMS? Sudahlah itu, yang ketuanya difahamkan bukan Islam. Macam mana orang yang tidak pernah pergi Umrah hendak kendalikan jemaah?” soalnya.

Rentetan itu, Razali akan mengaturkan perbincangan dengan pihak kementerian untuk meminta perlaksanaan tersebut dikaji semula.

“Kita selesaikan dulu secara anak dan bapa. Seperti keluarga. Jika tidak dapat juga. Kita terpaksa laporkan kepada SPRM kerana bimbang ada penyalahgunaan kuasa dalam hal ini,” katanya lagi. 

Berdasarkan statistik kementerian pelancongan, seramai 250,000 jemaah telah menunaikan umrah pada 2017dan dijangka meningkat kepada 300,000 pada 2018. 

Manakala, statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapati 3,762 kes dengan nilai tuntutan lebih RM23juta telah difailkan dari 2012 hingga 2017 di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). 

Rentetan itu, IMAMS telah dikuatkuasakan untuk memantau 65 agensi pelancongan berstatus muasassah yang dilesenkan dengan lesen khas umrah (LKU) pada 1 Oktober 2017. – 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen