SEORANG pekerja warga India maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama lapan penumpang yang lain terbabas di kawasan Hutan Simpan Lumadan, Beaufort pada pukul 1.13 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak berkata mangsa yang dikenali sebagai Kusan Anumanthan Kumar, 46, penumpang belakang kenderaan itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher.
Beliau berkata mangsa yang juga pekerja pembinaan pencawang dan pemasangan kabel elektrik di kawasan Hutan Simpan itu juga tersepit akibat pelanggaran itu.
“Kejadian berlaku apabila pemandu kenderaan itu dipercayai hilang kawalan apabila mengundurkan kenderaan sebelum terbabas ke kanan jalan dan terbalik,” katanya dalam kenyataan di Beaufort hari ini.
Azmir berkata siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.
Pemandu berusia 50-an dan penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama, 19 Oktober, 2020.
Komen