SEKURANGNYA dua warga Indonesia terkorban berikutan gempa bumi bermagnitud 6.5 pada skala Richter mengegarkan pulau Jawa, Indonesia.
Warga emas berusia 62 tahun dari Ciamis dan wanita berusia 80 tahun di pekan Pekalongan terkorban apabila bangunan yang diduduki mereka roboh, kata Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho.
“Beberapa hospital di kawasan sekitar juga mengalami kerosakan, menyebabkan pesakit terpaksa dipindahkan,” katanya.
Hospital di Banyumas mengalami kerosakan bumbung dan siling, selain dinding retak dan kebocoran oksigen yang memaksa lebih 70 pesakit terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Sekurangnya seratus rumah rosak di kawasan Jawa Barat dan Jawa Tengah, kata agensi itu.
Manakala semalam, sekurang-kurangnya lima orang lagi dilaporkan cedera di sekitar kepulauan itu dan pihak berkuasa masih menilai kerosakan yang disebabkan gempa yang melanda sebelum tengah malam waktu tempatan itu.
Gempa berukuran 6.5 itu berlaku pada kedalaman 91 kilometer dan kurang satu kilometer dari bandar Cipatuh, kata agensi kajian gempa Amerika Syarikat.
Gegaran gempa itu dirasai di seluruh kepulauan itu. – AFP, 16 Disember, 2017.
Komen