Taufan Kai-Tak landa Filipina, puluhan ribu orang dipindahkan


Lebih 38,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan, kata pegawai tempatan beberapa hari selepas hujan lebat berlaku sebelum ketibaan taufan itu yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Samar dan pulau berhampiran, Leyte. – Gambar AFP, 16 Disember, 2017.

PULUHAN ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka kerana banjir dan tiga nelayan dilaporkan hilang pada Sabtu apabila ribut Taufan Kai-Tak melanda barat Filipina, kata pegawai negara itu.

Kai-Tak bertiup kencang mencecah 100 kilometer per jam melanda bahagian utara pulau ketiga terbesar negara itu, Samar pada malam Sabtu sebelum bergerak menuju tengah Filipina, kata agensi kaji cuaca negara itu.

Lebih 38,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan, kata pegawai tempatan beberapa hari selepas hujan lebat berlaku sebelum ketibaan taufan itu yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Samar dan pulau berhampiran, Leyte.

Keseluruhan pulau itu yang mempunyai penduduk berjumlah 4.5 juta orang sebelum ini pernah dilanda Taufan Super Haiyan empat tahun lalu, menyebabkan lebih daripada 7,350 orang terbunuh atau hilang.

Perkhidmatan feri di dua pulau itu dibatalkan kerana ombak besar. Tiga orang nelayan juga dilaporkan hilang walaupun kerajaan sudah mengeluarkan amaran supaya tidak turun ke laut, kata seorang pegawai pertahanan awam negara itu.

Seorang bayi perempuan dan wanita juga cedera dalam kejadian tanah runtuh berhampiran Tacloban, bandar terbesar di Leyte.

Agensi kaji cuaca negara itu mengatakan hujan lebat dijangka akan terus melanda barat Filipina dan memberi amaran banjir berlaku di kawasan rendah dan tanah runtuh di kawasan tinggi.

Hampir 20 taufan yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh melanda Filipina atau perairannya setiap tahun, menyebabkan kemusnahan teruk yang terus menghimpit jutaan rakyatnya yang miskin. – AFP, 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen