Permintaan khidmat penghantaran makanan melonjak semasa Covid-19


Khoo Gek San

Permintaan perkhidmatan penghantaran makanan Grab meningkat lebih 30% sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 20 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

PERKHIDMATAN penghantaran makanan menunjukkan peningkatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila ia menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk membuat pesanan bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19.

Syarikat perkhidmatan Grab berkata permintaan untuk perkhidmatan seperti makanan, pasar raya dan penghantaran meningkat lebih 30% sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac.

Namun mereka berkata ada berlaku penurunan permintaan untuk perkhidmatan e-hailing sebanyak 90% apabila orang ramai disaran untuk berada di rumah.

“Untuk memenuhi permintaan, kami mengubah operasi kami dengan memindahkan lebih 100,000 pemandu untuk menyokong perkhidmatan penghantaran,” kata jurucakap Grab kepada The Malaysian Insight.

Jurucakap itu juga berkata bahawa Grab telah memperkenalkan tawaran baharu kepada pelanggan mereka.

Menurutnya tawaran di bawah pakej “Grab Sigantures” lebih berpatutan kerana rakyat Malaysia menjadi lebih peka terhadap bajet.

“Tidak sampai dua minggu selepas pelancarannya, seramai 12,000 orang membeli pakej berkenaan.

“Lebih-lebih lagi kos penghantaran makanan telah dikurangkan menjadi RM2 dan untuk penghantaran secara percuma telah diperluaskan termasuk untuk lebih banyak rakan kongsi restoran,” katanya.

Jurucakap itu juga berkata perkhidmatan “Food Courts by GrabFood” dan “Pasar by GrabMart” akan didigitalkan untuk membantu meningkatkan kemampuan pelanggan.

“PKP terbukti mencabar terutama bagi perniagaan tempatan yang masih merasai kesannya terhadap operasi harian mereka.

“Oleh itu kami telah fokus bagi membantu perniagaan untuk digitalisasi sehingga mereka dapat bertahan lebih jauh dalam norma baharu ini,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan, Grab mengubah operasi mereka dengan memindahkan lebih 100,000 pemandu untuk menyokong perkhidmatan penghantaran makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

Grab menambah ini akan mendorong lebih banyak perniagaan memasuki ekonomi digital dengan menawarkan bonus bernilai RM2,000 kepada peniaga baharu di platform.

Jurucakap itu juga berkata bahawa mereka memberikan potongan sehingga 50% bukan hanya untuk membantu mendorong permintaan untuk perniagaan ini tetapi juga membantu memulihkan ekonomi.

“Melalui inisiatif ini rakan niaga kami mencatatkan peningkatan 25% dalam pendapatan atas talian mereka melalui Grab.

“Selain itu kami telah meletakkan 40% lebih ramai peniaga di platform kami sejak tempoh PKP,” katanya.

Grab juga berkata mereka telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan dengan lebih ramai rakyat Malaysia bergantung pada perkhidmatan penghantaran dalam tempoh ini.

Jurucakap itu berkata ini termasuk langkah-langkah untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakan kongsi termasuk menyediakan perkhidmatan penghantaran tanpa sentuhan.

“Kami telah mengedarkan satu juta topeng muka dan pembersih tangan serta memperkenalkan Dana Perlindungan Rakan Kongsi dan Dana Bantuan Rakan Kongsi untuk membantu serta melindungi mereka semasa wabak.

“Selain itu kami memperkenalkan GrabProtect, langkah keselamatan dan kesihatan yang komprehensif serta ketat untuk meminumkan risiko penyebran Covid-19.

“Kami juga memperkenalkan GrabBenefits, program manfaat pertama untuk ekonomi gig di Malaysia yang menawarkan program holistik bagi membantu rakan kongsi kami di seluruh ekosistem Grab menyimpan dan berbelanja dengan lebih baik,” katanya.

Restoran berdepan kekurangan pelanggan susulan perintah kawalan pergerakan selain orang ramai memilih untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

Kedai kopi terus bertahan

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) Ho Su Mong berkata walaupun ada peningkatan dalam permintaan atas talian, perniagaan kedai kopi akan bertahan.

“Kedai kopi masih sangat terkenal terutama bagi generasi lebih tua tetapi kerana wabak ini, kedai kopi terpaksa mengehadkan jumlah pelanggan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui perniagaan telah merosot di kawasan terjejas akibat Covid-19.

“Sebilangan bahan yang disediakan tidak dapat dijual dan terpaksa dibuang,” katanya.

Tambahnya perniagaan kedai kopi tidak akan pulih dalam jangka pendek seperti yang berlaku sebelum ini.

“Ini kerana pengurangan meja dan kerusi di kedai dan pelanggan tidak akan duduk lama di kedai, mungkin akan datang untuk beli dan bawa pulang sahaja,” katanya.

Su Mong berkata di beberapa tempat kedai kopi bergantung dengan kehadian pelancong untuk terus bertahan.

“Saya tidak dapat membayangkan berapa banyak kedai kopi yang akan hilang jika pandemik tidak menunjukkan tanda pulih,” katanya. – 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen