Jalan baharu Umno-Bersatu


HUBUNGAN Umno dengan PPBM boleh digambarkan sebagai ‘no trust, only mutual  respect’. Umno tidak pernah mempercayai PPBM kerana ia ditubuhkan dengan  hasrat untuk memusnah dan menggantikan Umno.

Tetapi apabila negara berada dalam keadaan yang gawat pada Februari lepas, Umno bertindak menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Hasrat Umno adalah untuk memberikan impetus atau lonjakan baru kepada kedinamikan Malaysia. Terutamanya dengan membawa pengalaman yang ada pada  Umno bagi mentadbir semula negara setelah kerajaan Pakatan Harapan menggagalkan dirinya sendiri dan lari dari mandat mereka.

Setelah tujuh bulan, kegelisahan Umno dengan PPBM semakin menyerlah. Umum  mengetahui kenapa Umno bukan sahaja tidak mempercayai PPBM. Malah, ‘mutual  respect’ yang tersisa juga telah semakin menipis.

Umno telah beberapa kali menghantar isyarat yang terang lagi bersuluh kepada perdana menteri. Umno tidak perlu menjelaskan segala kegusarannya dengan lebih panjang lebar. Melainkan perdana menteri dan PPBM sengaja untuk tidak memahaminya. Atau masih tetap mahu mengulang naratif yang sama. Kononnya  PPBM lah yang menyelamatkan Umno dan menjadikan Umno kerajaan.

Sekalipun naratif itu tidak tepat, sekarang bukan masa yang sama untuk berperang  dengan naratif dan perspektif. Sudah tiba masanya, untuk perdana menteri menilai dengan berani dan ikhlas, ke mana haluan kerajaannya, natijah dari tindakan Umno kebelakangan ini.

Banyak pihak melihat kerajaan yang beliau pimpin waktu ini adalah sangat lemah dengan keanggotaan kabinet yang seakan tidak berfungsi. Sebarang keputusan yang dilakukan oleh Umno akan tentunya mengubah kerajaan.

Perdana menteri pastinya tahu bahawa keutamaan Umno ialah untuk terus cuba mempertahankan kerajaan yang sama-sama ia bentuk, jika perubahan radikal dapat  dilakukan kepada kerajaan yang ada sekarang.

Umno mempunyai pelbagai pilihan waktu ini untuk menentukan jatuh bangun kerajaan PN. Umno boleh mengukuhkan PN. Umno juga boleh menumbangkannya. Malah, Umno juga boleh mempercepatkan pilihan raya umum.

Tetapi itu adalah pilihan terakhir Umno kerana kedudukan pandemik yang melanda negara. Umno tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umum demi suatu pilihan raya.

Keutamaan Umno ialah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh mengurus negara yang berada dalam krisis. Dan untuk itu, Umno mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya  sekadar penyeri kepada PN.

Semua pilihan adalah di tangan perdana menteri. Beliau memahami apa yang Umno kehendaki dan beliau juga tahu apa yang Umno mampu lakukan.

Keutamaan Umno ialah kepentingan terbaik Malaysia. Dan jika itu juga keutamaan perdana menteri, beliau sewajarnya melakukan sesuatu dengan segera untuk  merungkai kegelisahan yang Umno suarakan.

Umno akan sentiasa menyokong keputusan yang baik. Jadi, pamerkanlah kepimpinan yang ikhlas, yang boleh menukarkan ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ yang  sebenar. Kerana kita semua tahu. Trust is earned, not given.– 18 Oktober, 2020.


* Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen