DUA puluh orang maut di Costa Rica selepas meminum arak mengandungi metanol, kata kementerian kesihatan pada Sabtu.
Pihak berkuasa kesihatan memberi amaran sejak Oktober selepas kematian pertama dikaitkan dengan arak tiruan dilaporkan di La Carpio di barat San Jose.
52 kes disyaki akibat keracunan itu dilaporkan di seluruh wilayah berkenaan yang dikaitkan dengan arak daripada tebu atau dikenali dengan nama guaro dalam kalangan penduduk tempatan.
Pihak berkuasa kesihatan pada Khamis mengeluarkan amaran mengenai guaro di bawah jenama Fiesta Blanca, yang mana ia disyaki dicampur metanol.
49 peniaga diperiksa oleh polis dan pegawai kesihatan dan sampel guaro diambil untuk ujian makmal.
Pada Khamis dan Jumaat lalu, polis merampas lebih 14,000 botol daripada pengedar Guaro Fiesta Blanca, menurut satu kenyataan.
Kes kematian akibat keracunan metanol daripada minuman keras kerap berlaku di banyak negara seluruh dunia, kebanyakannya melibatkan arak tiruan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kandungan metanol yang tinggi berpunca daripada proses penyulingan yang tidak sempurna. – AFP, 18 Oktober, 2020.
Komen