PKPB jangan zalimi rakyat


RAMAI yang terasa akan kepayahan dan kesusahan yang menimpa diri akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan baru-baru ini. Daripada yang berkerja sebagai penggunting rambut, pengusaha makanan, pengusaha gimnasium, dan syarikat penerbangan, semua lapisan masyarakat dari pelbagai sektor berasa takut akan masa depan mereka.

Ramai yang masih belum pulih daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu, namun terpaksa bergelut sekali lagi dan berjuang untuk hidup.

Banyak rintihan dan rayuan yang kita dengar di media sosial: seorang bapa hilang mata pencarian dan memohon bantuan orang ramai untuk membantunya, seorang ibu tunggal terpaksa menjual kipas untuk membayar sewa rumah yang tertunggak, ibu yang terpaksa membancuh air gula bagi anaknya kerana tidak mampu lagi membeli susu untuk anaknya.

Ini hanya sedikit perkongsian kesusahan rakyat yang sering kita lihat sekarang.

Lagi memburukkan keadaan moratorium juga telah tamat pada bulan September dan ramai yang terpaksa mula membayar hutang bank dengan punca pendapatan yang terjejas.

Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia, 75% daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan lebih daripada RM1,000. Ini bererti tidak ramai yang mampu bertahan dengan lama tanpa bekerja. Banyak yang bergantung kepada gaji yang diperolehi dari bulan ke bulan. 

Ini bukan kerana rakyat malas bekerja tetapi gaji minima di Malaysia yang rendah terutamanya jika dibandingkan dengan negara-negara jiran lain seperti Singapura.

Walaupun kos sara hidup telah naik dengan mendadak tetapi gaji yang diterima tetap dalam lingkungan sama. Sudah lama kita terpaksa berdepan dengan masalah kos sara diri yang kian meningkat, pandemik ini telah mengeruhkan keadaan yang sudah keruh.

Walaupun ramai yang beranggapan bahawa PKPB hanya selama dua minggu, namun bagi sesetengah daripada kita ia menentukan kelangsungan hidup sesebuah keluarga.

Jika perbelanjaan seharian masih lagi tidak mencukupi dan sewa rumah tertunggak dan menunggu masa sebelum dihalau pemilik rumah, bagaimana rakyat ingin membayar hutang bank?

Dalam pada itu juga, morotorium bersasar dijalankan di atas harapan keadaan ekonomi akan pulih dan pandemik Covid-19 akan bertambah baik di negara kita. Namun sehingga ke hari ini kes telah bertambah dengan mendadak dan sebanyak 869 kes terbaru telah dilaporkan.

Jika PKPB ini dilanjutkan, bagaimana dengan nasib ribuan yang akan terjejas kerana kehilangan punca pendapatan yang semestinya tidak akan mampu menyelesaikan hutang bank. 

Tidakkah zalim jika dalam keadaan sebegini mereka dipaksa dan dikerah membayar hutang bank?

Selain itu, terdapat masalah yang dihadapi oleh rakyat antaranya permohonan daripada golongan SME yang telah ditolak oleh pihak bank walaupun telah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak bank. 

Jika ramai SME gulung tikar bukankah lebih ramai yang akan kehilangan mata pencarian dan keluarga yang akan kelaparan? Beginikah pihak bank membantu rakyat?

Keduanya, pemohon daripada sektor yang impak yang besar dari Covid-19 seperti sektor pelancongan juga telah ditolak oleh pihak bank. Mengapa sektor yang terkesan oleh pandemik ini tidak diberi bantuan sewajarnya?

Ketiganya, pemohon juga mengadu sesetengah bank ingin mengenakan caj yang lebih tinggi kepada peminjam. Mengapakah bank tidak berhati perut sehingga sanggup berlaku kejam sebegini?

Kita masih lagi mendengar rintihan masyarakat akan sikap sektor perbankan yang konon-kononnya ingin membantu rakyat tetapi bertindak sebaliknya. Hanya retorik yang dikeluarkan oleh sektor perbankan namun hakikatnya mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Objektif moratorium bersasar ini adalah untuk membantu rakyat yang berada di dalam kesusahan selepas moratorium berakhir pada September. Namun jika timbulnya pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat, bagaimankah moratorium bersasar ini membantu memudahkan kehidupan rakyat yang sedang kesempitan? 

Tidakkah sebenarnya moratorium bersasar ini telah gagal dan kerajaan seharusnya melaksanakan blanket moratorium pada golongan yang susah seperti golongan B40 dan M40. Ramai yang telah terputus mata pencarian dan matlamat utama adalah untuk bertahan untuk hidup, dan membayar pinjaman bank bukanlah sesuatu keutamaan.

Janganlah kerana kepentingan dan hawa nafsu, segolongan rakyat dipinggirkan. Rakyat tonggak utama negara. Bagaimana mereka ingin membantu memajukan negara jika mereka tidak mampu bertahan lagi? – 18 Oktober, 2020.

* Sohpie Shakur, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen