Orang politik terus berpolitik, rakyat terus bekerja


Zainal Rashid Ahmad

TIDAK pernah berlaku dalam sejarah ketika rakyat di ambang bencana akibat wabak paling berbahaya pada abad ini - ahli politik lebih prihatin pada kuasa dan nasib rakyat dilempar ke longkang.

Politik tahun 2020 membuktikan betapa “politik material” yang berpaksikan pada kuasa dan wang sejak empat lalu telah melahirkan “monster” dan bukan pemimpin.

Apabila pandemik Covid-19 melanda Malaysia dengan peningkatan angka jangkitan 100% dalam tempoh 18 hari (1 hingga 18 Oktober) bernanding seluruh jumlah kes sepanjang Januari hingga September tahun ini - yang dihebahkan ahli politik ialah soal “kuasa dan kuasa!”

Sejarah si Kitol dan Raja Mendeliar pada hujung abad ke-14 dipenuhi dengan unsur khianat. Usaha menjatuhkan perdana menteri (PM) ke-8 dan konspirasi menaikkan PM ke-9 kini menjadi krisis “ugut mengugut”.

Keadaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat goyah dan krisisnya begitu ketara. Wujud usaha saling mengkhianati sesama parti-parti dalam PN.

Ini menjadikan “si Kitol dan Raja Mandeliar” dalam teks klasik kini kembali lagi dalam sejarah Melayu moden.

Cuma, kali ini senarionya sikit berbeza; daripada wajah penfitnah ke wajah pengkhianat.

Hanya sekadar bertanya

Wahai pemimpin Umno dan Bersatu. Anda tidak gembira soal siapa lebih berkuasa?

Anda mahukan politik karcis dilaksanakan?

Anda mahu kembali ke politik suku-sakat?

“Tolonglah bersabar”.

Haiwan seperti singa dan haiwan juga kenal erti bersabar. Menunggu ruang yang tepat dan detik yang selamat untuk bertindak menerkam musuh.

Takkanlah Umno dan Bersatu lebih kemaruk berbanding nafsu hewani?

Rungutan Mary Anne

Saya menaiki Grab pada Selasa lalu dari Bandar Sri Permaisuri, Cheras ke KL Traders, Gombak. Suasana yang menyedihkan dalam Grab.

Mary Anne mengaku dia penyokong DAP. Saya mengaku menyokong “bla bla bla”.

Nyatanya kami berbeza dalam hal politik. Namun, kami sepakat bahawa sebagai rakyat - kehidupan selarang sangat sukar.

“Kamu jangan salah faham ya,” kata Mary Anne.

Pemandu Grab asal Bangi ini menyatakan pandangan kritisnya mengenai keadaan politik.

Seperti saya – kami setuju – sekarang bukan masa untuk pemimpin bermain politiking.

“Saya faham. Apa yang anda katakan sangat benar. Saya tidak menganggap anda rasis. Saya juga seperti anda. Kita sama-sama menyampah dengan sikap orang politik,” jawab saya.

Mary Anne melahirkan perasaan dukanya.

Ibu kepada dua anak ini kehilangan kerja apabila syarikat insuran antarabangsa menamatkan khidmatnya kerana isu kemelesetan ekonomi.

Setelah sebelas tahun berkhidmat, Mary Anne menerima notis ditamatkan khidmat. Dia hanya menerima gaji akhir bulan julai.

Notis pampasan dua bulan gaji ditangguhkan majikan.

“Saya kena bawa Grab. Saya sentiasa ketakutan dalam dua bulan keadaan kewangan merosot teruk,” katanya.

Saya mendengarnya.

“Untuk cari gaji RM5 ribu sebulan, saya harus bekerja 16 jam sehari memandu di jalanan,” katanya.

Kami berbeza agama, bangsa dan sokongan politik.

Tetapi, dalam 30 minit perjalanan - kami menjadi manusia yang sama; menyampah dan sakit hati dengan “sindrom kemaruk kuasa” yang sedang melanda negara.

“Mana yang mahu jadi PM, sabar dulu. Sekarang ekonomi sangat teruk. Covid-19 makin parah.

Rakyat susah dan saya hairan kenapa orang masih kelam-kabut mahu menukar pemimpin?” Kata Mary Anne.

Saya bersetuju. Dari kerusi belakang Grab, saya tidak dapat melihat wajah Mary Anne. Namun, nada suaranya sangat berat dan penuh nada kecewa.

Saya cuba mengalihkan topik dengan bertanyakan khabar keluarga.

“Anak sekolahkah puan?”

Mary Anne menjawab: “Ya… saya ada dua anak bersekolah,” katanya.

Saya terdiam.

“Tapi, ibu bapa mertua tinggal dengan saya dan mereka tidak sihat,” katanya.

Saya hanya mampu bertanya.

“Suami kerja mana?”

“Kerja jurujual kereta. Tetapi encik pun tahu, sekarang tak mudah buat jualan.”

Mendengar jawapan Mary Anne saya faham. Ini kisah yang dialami ratusan ribu isi rumah Malaysia.

Covid-19 yang melanda dunia telah menjejaskan kehidupan lebih 2 bilion manusia.

Bank Dunia menganggarkan 2.8 bilion penduduk dunia akan jatuh ke paras miskin berikutan krisis ekonomi global yang terus merudum secara berantai sejak suku pertama tahun ini.

Ketika gelombang Covid-19 memasuki gelombang kedua, rantaian ekonomi dunia dijangka terus perlahan hingga Disember 2021.

Orang politik akan terus berpolitik. Rakyat akan terus bekerja.

Namun, apakah rakyat dapat berkerja dalam keadaan yang sukar ketika ahli politik terus mencipta pengkhianatan demi kuasa? – 18 Oktober, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen