Pembekal elak lambakan produk ketika PKPB


Bernard Saw

Pembekal dan pemborong sentiasa mengawasi hasil yang diterima kerana bimbang berlaku lambakan produk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

PEMBORONG makanan laut dan sayur-sayuran mengawasi lambakan bekalan hasil di pasar Lembah Klang selepas pengguna membuat pembelian awal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa bermula 14 Oktober.

Mereka mahu mengelakkan lambakan produk yang mungkin akan dibuang, sebagaimana yang berlaku pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock, keadaan cuaca yang tidak menentu beberapa minggu kebelakangan ini menjejaskan hasil tangkapan ikan sekali gus mengurangkan bekalan yang sedia ada.

Namun sejak permintaan daripada industri makanan dan minuman menurun, bekalan dan permintaan dilihat seimbang, katanya.

Bagaimanapun, sekiranya jumlah hasil tangkapan meingkat dalam beberapa hari ini, ia mungkin akan menyebabkan lebihan bekalan.

“Saya menunggu hari Isnin, Saya tidak pasti apa yang akan berlaku, apabila menjangkakan hasil tangkapan baharu.”

Pemborong ikan bimbang dengan lambakan hasil apabila terdapat kemungkinan pengusaha pasaraya kecil tidak beroperasi ketika PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia Chia Tian Hee berkata beliau bimbang dengan kemungkinan berlakunya lambakan bekalan berikutan pengusaha pasaraya kecil yang mungkin tidak beroperasi kerana perniagaan merosot ketika PKPB.

Beliau juga merasakan penjarakan sosial yang lebih ketat di restoran dan desakan kerajaan untuk masyarakat membungkus makanan, akan menyebabkan permintaan dalam industri F&B menurun.

Trend pengguna memesan makanan beku secara dalam talian yang semakin meningkat bagaimanapun membantu pembekal mengurangkan tekanan untuk mengurangkan stok yang terlalu banyak.

Untuk sayur-sayuran contohnya, pemborong berkata mereka menguruskan stok dengan mengurangkan pembelian daripada petani.

Presiden Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur Chong Teck Keong berkata perkara utama untuk memastikan bekalan tetap konsisten dan mengelakkan kekacauan adalah memastikan pasar pagi dan pasar basah tetap beroperasi.

“Jika pasar pagi diarahkan tutup, maka akan ada dampak yang signifikan.”

Pemborong dan pembekal dapat mengharungi tempoh PKPB lebih baik kerana pengalaman daripada PKP yang dikuatkuaskan pada Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2020.

Di bawah PKPB, logistik dan pengangkutan lebih lancar kerana lori yang membawa bekalan tidak terjejas dengan sekatan jalan raya.

Tidak seperti dalam tempoh PKP pada Mac yang menyaksikan penangguhan penghantaran bekalan makanan menyebabkan hasil berkenaan rosak dan terpaksa dibuang. 

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata pembekal dan pemborong menghadapi sekatan pergerakan dengan lebih baik pada kali ini, yang mana ia juga tidak terlalu ketat berbanding ketika negara mula berdepan pandemik Covid-19.

“Peniaga telah belajar daripada pengalaman yang lalu.Kita telah belajar bagaimana untuk menghadapinya, dan tiada kes kehabisan bekalan.

“Lagipun, PKPB hanya berkuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (di Semenanjung), jadi kita boleh hadapinya.” – 20 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen