Filem juga produk budaya


Haris Hauzah

BARANGKALI satu-satunya analogi paling sesuai bagi menggambarkan betapa sukarnya untuk memahami Finas ialah dengan melihat apa yang sedang dibuat Donald Trump dalam pentadbirannya di White House.

Awal bulan ini, Finas mengadakan pertemuan dengan sebuah pertubuhan penggiat filem yang dinamakan Persatuan Aspirasi Oscar Malaysia atau Aspirasi.

Tiada banyak maklumat yang diketahui tentang Aspirasi selain dari namanya sendiri. Selebihnya adalah misteri.

Kita sudah maklum akan akan hajat besar orang-orang besar di Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Finas yang terlalu sangat mahu memenangi Anugerah Akademi.

Oscar yang mereka amat hajatkan itu malah lebih penting daripada segala pembaharuan dasar dan pembaikan polisi.

Justeru, aku beranalogikan aksi-aksi aneh pentadbiran Trump di White House dengan mereka. 

Babak “absurd” dan “sureal” yang diperlihatkan memang sukar untuk diterima dan difahamkan.

Ketika ada banyak sekali hal dan isu yang harus diluruskan dengan banyak pembaikan, sebaliknya Finas hanya sibuk dengan Oscar yang mereka menggilahajatkan.

Pada 2 Oktober lalu, Trump disahkan positif Covid-19. Dia yang mengalami demam pada waktu itu kemudiannya dimasukkan ke Pusat Perubatan Kebangsaan Walter Reed.

Dia yang sedang dalam rangka kempen bagi mengekalkan kuasanya sebagai presiden Amerika telah dipaksa oleh para pegawainya menggantung segala program kempen dengan segera. 

Bagaimanapun, selepas tiga hari dirawat di hospital, Trump tiba-tiba dibenarkan keluar dari hospital pada 5 Oktober dalam satu situasi yang ganjil.

Trump kembali ke kediaman rasmi presiden di White House dengan helikopter. Dia melangkah turun dari helikopter dan berjalan menaiki tangga sebelum beberapa minit berdiri di anjung White House menghadap ke arah media.

Dia kemudiannya membuka pelitup muka dan melambaikan tangan buat beberapa ketika sebelum berjalan masuk ke dalam White House. 

Ia memang suatu visual “absurd” dan “sureal” yang mana payah sekali untuk kita hadam dan faham. 

Dalam keadaan tiada siapa dapat benar-benar mengesahkan kesihatan presiden itu, sewaktu masih timbul tanda tanya mengenai persoalan apakah Trump telah pulih dan sepenuhnya bebas dari virus dengan jaminan tidak akan menjangkitkan virus itu kepada individu lain, Trump tinggalkan itu semua jadi misteri dengan berkata: “Saya rasa lebih baik, saya rasa lebih sihat.”

Inilah yang berlaku apabila Finas mendampingi Aspirasi yang penuh misteri. Pertemuan mereka adalah perbincangan tertutup yang tidak dilaporkan dengan sebarang perincian.

Mereka hanya mengemaskini gambar dengan pemakluman tentang pertemuan.

Sungguh aneh cara Finas memajukan industri filem Malaysia. Finas seharusnya lebih dulu menangani isu pasaran filem tempatan dan memenangkan filem tempatan dalam pasaran tempatan.

Inilah sebenarnya yang menjadi cabaran, bukannya Oscar yang sakan mereka ingin menangkan.

Kemunculan Hollywood sebagai suatu kuasa filem yang gagah menguasai industri perfileman dunia hingga dilihat seakan membunuh industri filem Eropah adalah kerana penguasaan mereka terhadap pasaran.

Langkah pertama yang Hollywood lakukan adalah dengan menguasai pasaran filem tempatan. Saiz pasaran Amerika Syarikat yang luas telah menjadikannya suatu faktor yang memiliki banyak potensi dan kelebihan.

Rancangan mereka ialah merangka satu strategi supaya industri filem tempatan mereka boleh menghasilkan sekian banyak filem saban tahun.

Filem-filem yang dihasilkan bagi menguasai pasaran tempatan di Amerika itu diletakkan dengan suatu identik standard pada mutu, jati diri, keunikan serta beberapa ciri kelebihan yang boleh dijual.

Hollywood menjual filem-filem keluaran mereka sebagai sebuah produk budaya. Pengisian Amerika sebagai sebuah negara bangsa yang mengutamakan keadilan dan kepentingan sejagat amat ketara.

Amerika dalam filem Hollywood bukan persis Trump yang jengkel dan selalu dangkal. Filem-filem mereka adalah jaguh pembebasan yang menentang segala bentuk kejahatan dan kezaliman.

Mereka menggunakan pengaruh kepenggunaan dengan kelebihan teknologi yang mereka capai secara maksimal.

Demokrasi, kesaksamaan gender serta kesetaraan kaum dan bangsa jadi tema-tema yang diterapkan dalam filem-filem yang mereka keluarkan.

Hollywood menjual gaya hidup Amerika melalui filem-filemnya sehingga seluruh dunia ketagihan dengan filem-filem yang dihasilkan mereka.

Moral besar dan modal mahalnya memperkasakan filem mereka dalam pasaran tempatan terlebih dahulu. Dalam masa sama dengan kelebihan bahasa yang ada, mereka memanfaatkannya sebagai suatu kelebihan.

Satu lagi strategi besar yang mereka gunakan adalah penggunaan kepentingan dan kepakaran.

Tidak seperti Finas yang tiba-tiba mendampingi Aspirasi yang misteri. Hollywood sebaliknya menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Malah sejumlah besar kakitangan yang pernah bertugas di Jabatan Negara Amerika Syarikat secara berstruktur diserap masuk ke Motion Picture Association of American (MPAA).

Ia dilakukan sebagai suatu langkah keseriusan Hollywood. Lantas kerana Hollywood tidak sekadar hanya mahu menang sorak di pesta filem, sebaliknya mereka mahu jadikan filem sebagai kuasa halus yang mempunyai kekuatan membentuk pemikiran penonton melalui nilai dan gaya hidup Amerika.

Harus kita sedari, walaupun penguasaan populariti filem-filem Hollywood itu tinggi, namun tidak semua filem yang mereka terbitkan itu baik dan bermutu.

Segalanya adalah bagaimana mereka memperkasakan terlebih dahulu akan hal-hal filem mereka dalam pasaran, khususnya formula menguasai pasaran tempatan.

Di Malaysia walaupun barangkali kerajaan menyedari kepentingan filem sebagai suatu industri yang mampu menjana pendapatan kepada negara, malangnya kita tidak sampai melihat filem sebagai produk budaya. 

Bahasa Melayu yang menjadi bahasa pertuturan lebih dari 300 juta orang di dunia sewajarnya diambil perhatian oleh Finas juga.

Justeru, Finas harus cepat sedar filem bukan hanya Oscar dan pesta filem. Ia produk budaya yang mampu memperkayakan bangsa dan negara. – 17 Oktober, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen