Rakyat susah, Kabinet gaji buta, Muhyiddin perlu letak jawatan


MENURUT statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada 13 Ogos 2020 lalu, kadar pengangguran negara pada Ogos kekal pada 4.7%, iaitu penambahan 222,000 individu menganggur berbanding tahun lepas.

Walau bagaimanapun, ini sudah pasti satu anggaran yang rendah, kerana tidak mengambil kira mereka yang diberi cuti tanpa gaji atau masih bekerja tapi dipotong gaji.

Bukti permasalahan pekerjaan sangat meruncing apabila sebahagian besar rakyat Malaysia menggesa kerajaan meneruskan moratorium. Bank Negara Malaysia (BNM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa lebih 750,000 peminjam masih memerlukan moratorium pinjaman, dan angka ini jauh lebih tinggi daripada angka pengangguran rasmi.

Keadaan ini dijangka tidak akan pulih dalam masa terdekat. Unjuran Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) pada 6 Oktober lepas menyebut ekonomi Malaysia menguncup kepada 4.0% untuk tahun 2020, susulan pergelutan berlanjutan terhadap Covid-19.

Pengarah Eksekutif SERC Lee Heng Guie pula mengatakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan senario asas di mana rantaian perbekalan terganggu serta permintaan domestik lembap kerana tempoh yang lama bagi mengekang wabak tersebut.

Dengan kesemua fakta ini, adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sedar bahawa rakyat semakin susah untuk meneruskan hidup? Pada mulanya beliau mengatakan keadaan terkawal. Kemudian mendakwa tidak mahu bermain politik. Sedangkan dalam masa yang sama Kabinet beliau langsung tidak berfungsi untuk mengeluarkan rakyat dari kemelut pengangguran!

Di bawah beliau merupakan Kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia, namun jarang sekali kedengaran inisiatif pemulihan ekonomi daripada menteri-menteri yang ada. Adakah Kabinet ini dianggotai mereka yang makan “gaji buta”?

Muhyiddin ternyata telah gagal dan harus meletakkan jawatan segera. Negara ketika ini memerlukan nakhoda baharu dengan jemaah menteri yang lebih efisien untuk membantu ekonomi rakyat, daripada sekadar membaca doa di depan televisyen dengan para menteri yang sewenang-wenangnya melanggar SOP.

Isu berkaitan poket rakyat jika tidak ditangani dengan baik akan menjejaskan keseluruhan sistem. Perkara ini amat penting untuk memastikan kebajikan rakyat keseluruhannya terpelihara. – 17 Oktober, 2020.

*Shazni Munir Mohd Ithnin adalah ketua Pemuda Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen