Mugabe jumpa doktor di Singapura


Robert Mugabe (berkemeja putih) dilihat meninggalkan Hospital Gleneagles di Singapura pada tengahari semalam. – Gambar AFP, 16 Disember, 2017.

BEKAS Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang disingkirkan bulan lepas melawat sebuah hospital Singapura semalam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Itu adalah kali pertama dia dilihat di khalayak umum sejak dipaksa meletak jawatan selepas tentera mengambil alih kawalan negara itu seterusnya menamatkan pentadbirannya selama 37 tahun. 

Lelaki berusia 93 tahun itu dilihat meninggalkan Hospital Gleneagles di Singapura tengahari semalam, memakai kemeja putih dan seluar hitam dan ditemani lapan orang, kata seorang wartawan AFP.

Dia berjalan laju meninggalkan hospital itu sebelum menaiki kereta.

Dua pekerja hospital yang tidak mahu dinamakan kerana mereka tidak diberi kuasa bercakap dengan media mengesahkan kepada AFP yang Mugabe melawat hospital itu.

Jurucakap Hospital Gleneagles enggan mengulas, memetik faktor kerahsiaan pesakit.

Bekas jurucakapnya, George Charamba berkata semalam yang Mugabe melawat Singapura untuk pemeriksaan perubatan yang merupakan “sebahagian daripada pakej persaraannya sebagai presiden yang membolehkannya melawat luar negara”, menambah yang kerajaan baru masih menghormati bekas pemimpin itu.

Tentera masuk campur pada 14 November dan mempengaruhi pelantikan presiden baru, Emmerson Mnangagwa selepas wujudnya pergelutan kuasa antaranya dengan isteri Mugabe, Grace, 52, yang sebelum ini dilaporkan bakal dilantik sebagai presiden.

Mugabe yang memerintah Zimbabwe sejak negara itu merdeka pada 1980 dituduh melakukan penindasan ganas dan mengheret negara itu ke kancah kejatuhan ekonomi.

Kesihatannya dilaporkan semakin merosot dan wujud laporan mengatakan dia sedang bertarung dengan kanser prostat.

Sejak beberapa tahun lalu, dia sudah melakukan beberapa lawatan ke Singapura, sebuah kawasan tumpuan terkenal untuk perubatan.  –  AFP, 16 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen